DUBAI: Polis menahan seorang pengemis yang memiliki wang tunai berjumlah AED20,000 (RM21,163) dalam satu operasi khas membanteras aktiviti meminta sedekah secara haram di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Individu berkenaan ditangkap di sebuah tempat letak kereta awam sebagai sebahagian daripada kempen membanteras pengemisan yang sedang diperhebatkan dalam bulan Ramadan.
Pengarah Jabatan Orang Mencurigakan dan Fenomena Jenayah Dubai, Brigedier Ali Salem Al Shamsi berkata, suspek secara khusus menyasarkan pemilik kenderaan mewah di kawasan parkir dan di lampu isyarat dengan menggunakan pelbagai cerita rekaan.
Menurut Ali Salem, suspek menggunakan kisah rekaan mengenai kemiskinan tegar dan kelaparan bagi menagih simpati daripada pemandu kenderaan.
“Pengemis sering menggunakan cerita palsu dan pelbagai helah untuk memperdaya orang ramai di pintu masuk masjid, klinik, hospital, pasar dan di jalanan. Orang awam perlu sentiasa berwaspada terhadap taktik seumpama ini yang digunakan semata-mata untuk meraih simpati,” katanya.
Beliau menyifatkan aktiviti tersebut sebagai satu ‘wabak’ yang sering bergantung kepada kaedah penipuan untuk mengeksploitasi sifat murah hati masyarakat.
Penahanan itu dibuat susulan langkah tegas pihak berkuasa Dubai untuk memastikan bantuan kebajikan disalurkan melalui saluran rasmi yang sah.
Berdasarkan undang-undang persekutuan antipengemis, aktiviti meminta sedekah merupakan satu kesalahan jenayah yang boleh dihukum.
Pihak berkuasa turut menasihatkan individu yang benar-benar menghadapi kesulitan hidup supaya merujuk kepada organisasi kebajikan berdaftar dan entiti kerajaan untuk menyalurkan bantuan kewangan secara sah.
Penduduk juga digesa untuk tidak memberikan wang kerana rasa kasihan, sebaliknya diminta melaporkan aktiviti tersebut melalui aplikasi pintar ‘Police Eye’. – AGENSI










