BAITULMUQADDIS: Meskipun berdepan tekanan dan sekatan daripada beberapa negara berhubung dasar penempatan haram Yahudi di Tebing Barat, Israel dilihat tidak berganjak apabila terus membuka laluan kepada pembinaan lebih 1,000 unit kediaman baharu di wilayah Palestin yang diduduki itu.
Pihak berkuasa Israel menetapkan kawasan seluas kira-kira 1.66 kilometer persegi bagi penempatan Keida dan Hadat di tengah Tebing Barat, sekali gus membolehkan proses perancangan pembangunan kedua-dua penempatan itu diteruskan.
Langkah berkenaan diumumkan Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich bersama Ketua Majlis Wilayah Binyamin, Yisrael Gantz, yang juga mengetuai Majlis Yesha, badan payung yang mewakili penempatan Israel di Tebing Barat.
Pihak berkuasa turut melengkapkan penetapan yang dikenali sebagai ‘Garis Biru’ bagi menentukan sempadan tanah berkaitan Keida dan Hadat, yang terletak dalam blok penempatan Shiloh.
Pegawai Israel menyifatkan penetapan itu sebagai langkah penting untuk meneruskan rancangan pembangunan bagi kedua-dua penempatan berkenaan, termasuk pembinaan kediaman dan penyediaan infrastruktur serta perkhidmatan awam.
Perkembangan itu berlaku ketika Britain meningkatkan tekanan terhadap dasar penempatan Israel dengan menyifatkan pendudukan Israel di Tebing Barat sebagai tidak sah mengikut undang-undang antarabangsa.
Britain turut mengumumkan sekatan menyeluruh terhadap penempatan Israel, selain melarang pengeluaran lesen eksport senjata dan barangan lain yang secara material menyumbang kepada pendudukan berkenaan.
Perancis dan Kanada pula dijangka mengharamkan perdagangan barangan dari penempatan Israel, manakala sembilan negara lain turut menandatangani kenyataan bersama Britain yang diterbitkan pada Isnin.
Dalam perkembangan berkaitan, keputusan kerajaan Israel mengiktiraf Keida dan Hadat sebagai penempatan bebas sebelum ini membolehkan pihak berkuasa meneruskan proses perancangan rasmi, termasuk pembangunan infrastruktur serta pembinaan.
Keida ditubuhkan sebagai pos penempatan pada 2003 sebelum mendapat pengiktirafan rasmi kerajaan Israel sebagai penempatan bebas pada Disember 2025.
Hadat pula bermula sebagai ladang pertanian pada 2001 sebelum berkembang menjadi kawasan penempatan penduduk dan menerima pengiktirafan rasmi sebagai penempatan bebas pada Mac 2026.
Pihak berkuasa Israel kini menyediakan pelan induk menyeluruh pertama bagi kedua-dua penempatan itu yang merangkumi rancangan pembinaan lebih 1,000 unit kediaman, selain kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan awam.
Langkah itu dilihat sebahagian daripada usaha lebih meluas Israel untuk mengabsahkan status pos penempatan yang sebelum ini tidak mendapat kebenaran rasmi, selain mempercepatkan pembinaan penempatan di Tebing Barat. – AGENSI










