Letak jawatan MPT atas faktor komitmen tugas - MB - Utusan Malaysia

Letak jawatan MPT atas faktor komitmen tugas – MB

ABU BAKAR HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Peletakan jawatan Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibuat atas faktor komitmen beliau dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Abu Bakar berkata, keputusan itu diambil bagi membolehkan beliau memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tugas sebagai Menteri Besar yang berbaki kira-kira setahun sebelum tamat penggal Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, buat masa ini, beliau kekal sebagai ahli Bersatu selain masih memegang jawatan Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri serta Ketua Bersatu Bahagian Kangar.

“Saya telah meletakkan jawatan sebagai ahli MPT Bersatu namun masih kekal sebagai ahli parti. Tidak timbul isu peletakan jawatan ini dikaitkan dengan jawatan Menteri Besar kerana saya hanya mahu memberikan komitmen sepenuhnya kepada pentadbiran negeri,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Abu Bakar bersama seorang Exco kerajaan negeri, Datin Marzita Mansor meletak jawatan Ahli MPT Bersatu malah surat pemakluman tersebut juga telah dihantar kepada kepimpinan parti peringkat pusat.

Sementara itu, Abu Bakar menafikan dakwaan peletakan jawatan tersebut mempunyai kaitan dengan kemelut politik atau petanda bakal berlakunya perubahan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri akan terus berfungsi seperti biasa selaras dengan titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail supaya pentadbiran diteruskan sehingga tamat penggal DUN.

“Perkara ini langsung tidak ada kaitan dengan pentadbiran negeri. Saya akan terus memberikan tumpuan kepada usaha menarik pelaburan, memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) serta merancang pelbagai inisiatif demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan Perlis,” katanya.

Tambah Abu Bakar, dalam masa sama, beliau turut menepis spekulasi bakal menyertai parti lain dan menegaskan dakwaan tersebut tidak berasas memandangkan masih terikat dengan Akta Anti Lompat Parti.

“Surat peletakan jawatan sebagai Ahli MPT juga telah dihantar ke ibu pejabat parti pada minggu lalu dan keputusan itu dibuat secara baik hasil perbincangan bersama kepimpinan tanpa sebarang tekanan atau perselisihan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN