Denda RM930 jika berbikini, pakaian terdedah 

Denda RM930 jika berbikini, pakaian terdedah 

PELANCONG menikmati pemandangan Tasik Como dari perkampungan indah Varenna.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMA: Sebuah perkampungan nelayan di pesisiran Tasik Como bertindak mengenakan denda sehingga 200 euro (RM930) terhadap mana-mana individu yang dikesan bersiar-siar tanpa baju atau hanya memakai pakaian renang.

Langkah drastik itu diambil oleh pihak berkuasa Varenna dalam usaha terbaharu destinasi percutian popular di Itali itu bagi mengekang gelagat jelik dan kurang sopan dalam kalangan pelancong asing.

Varenna kini dilaporkan berdepan tekanan hebat ekoran lonjakan mendadak bilangan pelancong, sekali gus mendorong penguatkuasaan undang-undang baharu demi memelihara imej kampung tersebut, selain menjamin ketenteraman sekitar 650 penduduk setempat yang menetap di situ.

Selain peraturan berpakaian, saiz kumpulan pelancong juga kini dihadkan kepada maksimum 25 orang sahaja bagi mengelakkan kesesakan di laluan berbatu yang sempit di Varenna, manakala pemandu pelancong dilarang keras menggunakan pembesar suara.

“Varenna ialah sebuah perkampungan yang indah dan kami berbangga menerima kehadiran ratusan ribu pengunjung dari seluruh dunia setiap tahun. Bagaimanapun, kualiti hidup penduduk tempatan tidak boleh dikorbankan demi mengaut keuntungan,” tegas Datuk Bandar Varenna, Mauro Manzoni.

Undang-undang yang dikuatkuasakan sejak beberapa hari lalu itu dilaporkan mendapat sokongan daripada komuniti setempat, terutamanya membabitkan etika berpakaian.

“Di kawasan pantai, anda bebas memakai apa sahaja, tetapi apabila bersiar-siar dan memasuki kedai, restoran, gereja atau dataran awam, anda mestilah berpakaian sopan.

“Sudah tiba masanya langkah bijak ini diambil. Apa yang penting sekarang adalah memastikan penguatkuasaannya berjalan lancar,” kata seorang pemilik kedai kepada saluran berita tempatan.

Banyak bandar dan pekan di serata Itali kini mula menguatkuasakan pendekatan serupa dalam menguruskan impak pelancongan berlebihan.

Pada tahun 2022, Datuk Bandar Sorrento ketika itu menyifatkan trend berjalan dengan pakaian renang dan tidak berbaju sebagai tingkah laku tidak senonoh yang semakin menular hingga menjejaskan imej bandar, lalu mengumumkan denda berat.

Sementara itu, di bandar pantai mewah Portofino di Liguria, aktiviti berswafoto dilarang sama sekali pada tahun 2023, malah beberapa kawasan diwartakan sebagai zon dilarang menunggu bagi menghalang pelancong daripada berkumpul dan melepak terlalu lama di satu-satu tempat. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN