PARLIMEN: 27,877 tahanan reman tunggu kes mahkamah selesai

PARLIMEN: 27,877 tahanan reman tunggu kes mahkamah selesai

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 27,877 banduan berada dalam tahanan reman Jabatan Penjara sementara menunggu kes mereka diselesaikan di mahkamah, setakat September lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu berlaku disebabkan tempoh menunggu untuk kes mereka diselesaikan di mahkamah mengambil masa bergantung kepada jenis kesalahan dengan berdasarkan maklumat Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dan Jabatan Penjara Malaysia.

Beliau berkata, purata tempoh menunggu bagi kes jenayah secara umumnya mengambil masa antara tiga hingga 24 bulan untuk diselesai.

Katanya, sasaran masa menunggu bagi penyelesaian apa-apa kes jenayah mestilah mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan.

“Dalam hal ini, Kerajaan melalui Pejabat Ketua Pendaftar telah mengeluarkan arahan pekeliling berkaitan penyelesaian kes jenayah sebagai panduan kepada Hakim dan Majistret untuk menguruskan dan menyelesaikan kes secara efisien.

“Arahan atau pekeliling tersebut termasuk pada tahun 2011, Ketua Hakim Negara telah menetapkan secara amnya, garis panduan bagi tempoh masa untuk melupuskan kes jenayah di mahkamah ialah dua belas bulan.

“Pekeliling Ketua Pendaftar Bilangan 2 Tahun 2017 Garis Masa Penyelesaian Kes Jenayah dan Sivil bagi Mahkamah Rendah dengan menetapkan bahawa tempoh masa penyelesaian kes jenayah ialah 12 bulan bermula dari tarikh pendaftaran kes di mahkamah

“Terakhir, Pekeliling Pendaftar Bilangan 3 Tahun 2019 Arahan Tempoh Penyelesaian Kes-Kes Sivil dan Jenayah. Ia terpakai bagi mahkamah di Sabah dan Sarawak yang menetapkan kes jenayah di Mahkamah Tinggi perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan, Mahkamah Sesyen, sembilan bulan dan Mahkamah Majistret, tiga hingga sembilan bulan, dari tarikh kes didaftarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan lisan Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Madius Tangau (PH-Tuaran) yang meminta Perdana Menteri menyatakan bilangan banduan sedang ditahan reman sementara menunggu perbicaraan dan pelan mengurangkan kelewatan tempoh menunggu.

Azalina berkata, kerajaan sentiasa memastikan sistem keadilan dapat ditegakkan tanpa sebarang penundaan, penangguhan atau kelewatan.

Katanya, antara langkah yang diambil oleh kerajaan melalui Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan termasuklah mengeluarkan Arahan Amalan Ketua Hakim Negara Bilangan 1 Tahun 2019 terkait penangguhan kes yang menetapkan bahawa setiap kes ditetapkan untuk perbicaraan atau pendengaran hendaklah didengar tanpa sebarang penangguhan, kecuali jika terdapat keadaan tidak dapat dielakkan.

“Hal ini demikian kerana penyelesaian sesuatu kes jenayah adalah dipengaruhi oleh tahap kesulitan kes, bilangan saksi, orang kena tuduh yang ramai dan ketiadaan tarikh lapang pihak-pihak atau saksi bagi tujuan penetapan tarikh sambung bicara yang menyebabkan garis masa penyelesaian kes tidak dapat dipatuhi.

“Sekiranya mahkamah berpegang kepada tempoh masa penyelesaian kes, dikhuatiri perkara ini boleh memberikan kesan kepada keadilan pihak-pihak dan mempengaruhi penghakiman mahkamah. Dalam hal ini, Hakim atau Majistret akan sedaya upaya menyelesaikan kes dalam tempoh masa yang munasabah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN