PARLIMEN: 1,652 ambilan calon NPQEL atasi kekurangan pengetua

PARLIMEN: 1,652 ambilan calon NPQEL atasi kekurangan pengetua

WONG KAH WOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) meningkatkan jumlah pengambilan calon National Professional Qualification for Educational Leaders (NPQEL) kepada 1,652 orang tahun ini.

Langkah itu bagi memastikan kekosongan jawatan pengetua dan guru besar di sekolah-sekolah seluruh negara dapat diisi dengan segera.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, jumlah tersebut merupakan yang tertinggi sejak 2021 dan mencerminkan komitmen KPM untuk memastikan mutu serta kelangsungan kepimpinan sekolah tidak terjejas akibat kekosongan jawatan berkenaan.

“KPM komited untuk memastikan jawatan Pengetua di semua sekolah tidak kira sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan diisi oleh individu yang berkelayakan dan juga berwibawa.

“Oleh itu, setiap calon perlu mengikuti Program NPQEL sebagai prasyarat sebelum dilantik ke jawatan tersebut,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (PH–Beruas) mengenai sama ada KPM bersedia melonggarkan syarat serta keperluan menghadiri kursus NPQEL selama setahun sebelum layak dilantik sebagai pengetua bagi mengatasi masalah kekurangan pengetua di sekolah menengah bantuan kerajaan.

Menurut Kah Woh, pemilihan pengetua dan guru besar bagi sekolah menengah bantuan kerajaan mahupun sekolah kerajaan dibuat selaras dengan ketetapan yang diluluskan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran Bilangan 6 Tahun 2013 pada 8 Oktober 2013.

“Ketetapan ini digubal bagi memastikan setiap pemimpin sekolah memiliki kompetensi kepimpinan yang mantap selaras dengan aspirasi KPM untuk memartabatkan sistem pendidikan negara.

“Oleh itu, keperluan memenuhi syarat-syarat sedia ada termasuk mengikuti kursus NPQEL adalah relevan dan penting dalam melahirkan pemimpin pendidikan yang berwibawa serta berkualiti di setiap sekolah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN