Pannir Selvam : Individu dikenal pasti namun tiada kaitan kukuh

Pannir Selvam : Individu dikenal pasti namun tiada kaitan kukuh

HUSSEIN Omar Khan ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, Shah Alam, Selangor hari ini. - UTUSAN/ AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan mengesan dan mengenal pasti individu dimaksudkan Pannir Selvam Pranthanam menjadi dalang menyerahkan dadah kepadanya pada 2022 dan Februari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, namun siasatan lanjut mendapati, maklumat yang diberikan Pannir Selvam tidak mempunyai ‘operational value’ dan tidak boleh mengaitkan individu dinyatakan dalam kes melibatkan penama.

Katanya, berdasarkan maklumat daripada Central Narcotics Bureau (CNB), Singapura, Pannir Selvan telah ditahan di Woodland Checkpoint, Singapura selepas memiliki dadah jenis heroin seberat 1,833.2 gram.

“Ekoran daripada itu, penama telah ditahan dan disiasat di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah 1972 (Misuse of Drugs Act) Singapura kerana terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

“Hasil siasatan tersebut, penama telah dituduh di Mahkamah Singapura dan mengaku tidak bersalah.

“Setelah menjalankan proses perbicaraan seterusmya pihak pendakwa telah membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dan Mahkamah telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati pada 2 Mei 2017,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, dalam proses rayuan hukuman terhadap penama, CNB dan ahli keluarga penama telah memberikan maklumat mengatakan penama telah diperdaya oleh satu suspek untuk membawa dadah masuk ke Singapura.

“JSJN telah membuat risikan dan siasatan terhadap maklumat tersebut. Maklumat diberikan tidak boleh mengaitkan individu dinyatakan,” ujarnya.

Katanya, semua sedia maklum, dasar luar Malaysia amat menghormati kemerdekaam dan kedaulatan sesebuah wilayah melalui dasar tidak campur tangan dalam hal ehwal negara lain seain menghormati prinsip ‘the law of the land’.

“Namun demikian, dalam usaha untuk mencari keadilan terhadap penama dengan mengekalkan prinsip ‘The Rule of Law’, JSJN telah melawat penama di Penjara Changi, Singapura pada 27 September lalu bagi tujuan mendapatkan maklumat baharu.

“Walau bagaimanapun, tiada maklumat baharu yang membolehkan JSJN menjalankan siasatan lanjut,” jelasnya.

Hussien berkata, PDRM menerusi JSJN amat memahami denyut nadi ahli keluarga dan masyarakat Malaysia yang terlibat di dalam sebarang insiden di dalam mahupun luar negara.

“Namun, rakyat Malaysia diingatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang di negara yang dilawati terutamanya dalam sebarang aktiviti mencurigakan.

“JSJN komired memerangi dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang. Dadah adalah musuh nombor satu negara.

“Justeru itu, orang ramai boleh menyalurkan maklumat hotline JSJN di 012-208 7222,” tegasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN