Menerusi satu hantaran di Threads, individu berkenaan mengakui kenyataan yang dibuat sebelum ini adalah tidak benar sehingga berpotensi menjejaskan nama baik penyanyi tersebut.
“Saya nak minta maaf sangat-sangat kepada Zaki Yamani atas kenyataan saya sebelum ini. Saya sedar apa yang saya cakap itu tidak betul (fitnah) dan boleh menjejaskan nama baik dia,” katanya.
Dalam hantaran sama, wanita berkenaan turut mengakui kesilapannya selain berharap Zaki dapat memaafkan tindakannya.
“Saya mengaku salah dan berharap pihak Zaki Yamani boleh memaafkan saya. Saya betul-betul kesal dengan tindakan saya,” ujarnya.
Terdahulu, Zaki meluahkan rasa kesal selepas namanya dikaitkan dengan dakwaan seorang individu yang mendakwa penyanyi itu sedang menjalinkan hubungan cinta.
Tidak mahu terus berdiam diri, Zaki memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang termasuk mengemukakan surat tuntutan sekiranya masih terdapat pihak yang menyebarkan spekulasi atau kenyataan tidak benar mengenai dirinya.










