KUALA LUMPUR: Sebanyak RM4.9 bilion telah diluluskan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) kepada lebih 6,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi separuh pertama 2026.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelulusan itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan meningkatkan akses PMKS kepada pembiayaan, selain meringankan kos perniagaan dan menyokong kelangsungan operasi mereka.
“Setakat separuh tahun pertama 2026, Skim SJPP telah meluluskan jaminan bagi pembiayaan bernilai RM4.9 bilion, memanfaat lebih 6,000 PMKS. Pinjaman kredit mikro oleh agensi seperti BSN, Agrobank dan TEKUN juga mencecah RM2.2 bilion, memanfaat 195 ribu usahawan mikro,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) sama ada kerajaan peka kepada cabaran yang dihadapi sektor perniagaan, khususnya usahawan PMKS dalam menghadapi senario global semasa dan langkah kerajaan untuk menyokong kelangsungannya.
SJPP ialah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan.
Selain itu, Anwar turut berkata, kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan pinjaman serta jaminan pembiayaan bernilai lebih RM15 bilion bagi menyokong keperluan modal kerja PMKS.
Katanya daripada jumlah itu, sebanyak RM5 bilion dikhususkan kepada bumiputera. – UTUSAN










