GEORGE TOWN: Pulau Pinang menjadi penyumbang terbesar iaitu kira-kira 45 peratus daripada keseluruhan hasil pelancongan perubatan negara pada tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, pencapaian itu mengiringi kejayaan Malaysia yang kini disenaraikan destinasi pelancongan perubatan keenam terbaik dunia berdasarkan laporan Top 10 Medical Tourism Destinations 2026 terbitan Travel And Tour World.
“Menurut data Penang Centre of Medical Tourism (PMED) melibatkan 16 hospital swasta di negeri ini, seramai 527,176 pesakit asing direkodkan pada 2025 berbanding 418,608 orang tahun sebelumnya.
“Peningkatan jumlah pesakit itu turut menyaksikan hasil pelancongan perubatan Pulau Pinang melonjak daripada RM898.07 juta pada 2024 kepada RM1.137 bilion 2025, peningkatan sebanyak 26.6 peratus,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, antara faktor utama yang mendorong kejayaan Pulau Pinang ialah perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi pada harga berpatutan selain kelebihan masyarakatnya yang mampu bertutur dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil serta beberapa dialek Cina yang lain.
“Keadaan itu memudahkan pesakit antarabangsa, khususnya dari Indonesia yang merupakan pasaran terbesar Pulau Pinang, mendapatkan rawatan serta berurusan sepanjang berada di negeri ini tanpa berdepan masalah komunikasi,” katanya.
Mengenai penyenaraian Malaysia sebagai destinasi pelancongan perubatan keenam terbaik dunia pula, Hon Wai berkata, pencapaian itu mencerminkan keyakinan berterusan pesakit antarabangsa terhadap kualiti sistem penjagaan kesihatan negara yang menawarkan hospital bertaraf antarabangsa, teknologi perubatan moden serta kos rawatan yang kompetitif.
“Malaysia berjaya menarik pesakit dari seluruh dunia menerusi hospital yang mendapat akreditasi antarabangsa, tenaga kesihatan yang fasih berbahasa Inggeris, teknologi perubatan moden serta ekosistem pelancongan perubatan yang kukuh,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, Malaysia turut menjadi destinasi pilihan bagi mendapatkan rawatan kardiologi, onkologi, kesuburan, ortopedik, pembedahan kosmetik dan plastik, pergigian, oftalmologi, saringan kesihatan, rehabilitasi serta program kesejahteraan.
“Hasil pelancongan perubatan Malaysia meningkat daripada RM2.72 bilion pada 2024 kepada RM3.35 bilion pada 2025, iaitu pertumbuhan sebanyak 23.2 peratus manakala jumlah pelancong perubatan turut meningkat daripada 1.6 juta kepada 1.85 juta orang dalam tempoh sama, pertumbuhan sebanyak 15.6 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya. – UTUSAN









