KUALA LANGAT: Pelajar tingkatan tiga yang ditikam oleh rakannya dekat sebuah sekolah menengah di Banting, di sini, semalam menerima rawatan di dewan bedah Hospital Banting selama tiga jam sebelum dipindahkan ke wad biasa pada pukul 4 petang semalam.
Malah, mangsa juga dijangka perlu tinggal di hospital selama seminggu untuk menerima rawatan dan dipantau proses pemulihannya.
Bapa mangsa, Mohd. Firuz Ibrahim, 43, berkata, perkembangan itu dimaklumkan oleh doktor yang merawat anak perempuanya yang berusia 15 tahun itu di Hospital Banting, namun bergantung kepada proses pemulihannya.
“Alhamdulillah, keadaan anak semakin stabil. Dia cakap rasa sakit semakin berkurangan, namun masih dalam pemantauan doktor dengan jururawat. Tiub masih terpasang untuk mengeluarkan darah dalam paru-paru.
“Berapa dalam luka yang terdapat pada badannya pula saya tak pasti. Tetapi, doktor akan melihat perkembangannya dalam tempoh dua atau tiga hari,” katanya ketika ditemui di Hospital Banting, di sini, hari ini.
Semalam, anak kedua daripada tiga beradik itu ditikam antara 14 hingga 16 kali dekat bahagian muka dan badan belakang sehingga menembusi paru-parunya dalam satu kejadian menggemparkan di tempatnya bersekolah.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, mangsa yang disahkan oleh peguam menghidap masalah autisme diperintah menjalani tahanan reman selama empat hari sehingga Jumaat ini untuk membantu siasatan polis. – UTUSAN










