PETALING JAYA: Kementerian Luar Negeri dan Ekspatriat Palestin menyambut baik pemeteraian Perjanjian Keamanan Kuala Lumpur antara Thailand dan Kemboja yang disifatkan sebagai langkah bersejarah ke arah menamatkan pertikaian sempadan serta memperkukuh keamanan dan kestabilan di rantau Asia Tenggara.
Dalam kenyataannya, kementerian itu berkata, bahawa perjanjian berkenaan merupakan hasil rundingan panjang dan bersungguh-sungguh antara kedua-dua negara dengan sokongan pelbagai pihak, termasuk Malaysia sebagai tuan rumah dan pertubuhan serantau ASEAN.
“Palestin menyokong sepenuhnya segala usaha yang berpaksikan kepada penyelesaian pertikaian secara aman, selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” menurut kenyataan itu.
Perjanjian Damai Kuala Lumpur yang dimeterai pada 26 Oktober lalu menamatkan konflik sempadan Thailand–Kemboja sejak Julai 2025.
Kementerian tersebut turut melihat penandatanganan perjanjian itu sebagai titik tolak baharu dalam diplomasi serantau yang membuka ruang kepada kerjasama lebih erat di kawasan sempadan.
“Langkah ini bukan sahaja membawa harapan kepada rakyat Thailand dan Kemboja, malah menjadi contoh nyata bahawa keamanan dapat dicapai melalui dialog, persefahaman dan saling hormat,” tambah kenyataan itu.
Melalui perjanjian berkenaan, kedua-dua negara dijangka menubuhkan jawatankuasa bersama sempadan bagi melaksanakan pelan damai, membangunkan kawasan sempadan secara bersama serta memperkukuh kerjasama ekonomi dan sosial demi kesejahteraan rakyat.
Usaha tersebut turut sejajar dengan aspirasi ASEAN untuk mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau melalui penyelesaian konflik berasaskan rundingan dan persefahaman bersama.-UTUSAN










