HULU TERENGGANU: Pekebun dan penduduk di Kampung Basung serta Pasir Dula, di sini boleh menarik nafas lega susulan pemasangan Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) sebagai usaha menangani pencerobohan gajah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd. Zawawi Ismail berkata, pemasangan pagar elektrik bernilai RM400,000 itu adalah langkah efektif untuk mengelak gajah menceroboh kawasan pertanian dan perkampungan penduduk.
“Pagar elektrik sementara menggunakan tenaga solar ini dipasang sepanjang empat kilometer yang menghubungkan daripada Kampung Basung sehingga ke kawasan pintu gerbang Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir.
“Kerja-kerja pemasangan telah dimulakan Khamis lalu secara gotong-royong antara kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Pasukan Basung Rangers serta penduduk.
“Ia dijangka siap dipasang sepenuhnya 15 Oktober ini. Apabila siap kelak, kita berharap inisiatif ini dapat kekang isu pencerobohan gajah di beberapa buah kampung yang sekian lama dialami pekebun serta penduduk,” katanya ketika dihubungi.
Kata beliau, masalah gajah bukan sahaja menyebabkan ramai pekebun terpaksa berputih mata dan hilang punca pendapatan setelah tanaman dimusnahkan haiwa berkenaan tetapi turut melibatkan kehilangan nyawa.










