JBPM Perak siap siaga hadapi ancaman Super El Nino - Utusan Malaysia

JBPM Perak siap siaga hadapi ancaman Super El Nino

SAYANI Saidon dalam sidang akhbar pada Perhimpunan Bulanan JBPM Perak di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berada dalam keadaan siap siaga menghadapi fenomena Super El Nino yang berpotensi mencetuskan peningkatan kes kebakaran.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, pihaknya telah membuat persediaan awal seperti tahun-tahun sebelumnya dengan memastikan kekuatan anggota, logistik dan aset berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik.

Katanya, ketika ini seramai 80 peratus anggota bertugas manakala baki 20 peratus dibenarkan bercuti memandangkan situasi semasa masih terkawal dan belum menunjukkan sebarang keadaan kritikal.

“Susun atur anggota masih seperti biasa dan tiada perubahan besar dilakukan. Dari segi logistik pula, semua peralatan serta jentera berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa.

“Kita juga tidak membuat penambahan aset atau meminjam jentera daripada negeri lain kerana persediaan sedia ada di peringkat negeri adalah mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Perak di Ibu Pejabat JBPM Perak di Bandar Meru Raya, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Sayani berkata, JBPM Perak menerima laporan kejadian kebakaran belukar hampir setiap hari, namun kebanyakan insiden masih berskala kecil dan terkawal.

Katanya, keluasan kawasan yang terbakar setakat ini tidak melebihi dua ekar dengan kebanyakan kes melibatkan kawasan kira-kira setengah ekar, sekali gus tidak memerlukan bantuan tambahan dari negeri lain.

“Setakat ini, situasi masih dalam kawalan dan tidak memerlukan bantuan daripada negeri lain,” katanya.

Dalam pada itu beliau mengingatkan orang ramai supaya mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka kerana api boleh merebak dengan cepat ketika musim panas.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya meningkatkan aspek keselamatan di rumah terutama ketika memasak bagi mengelakkan kebakaran akibat kecuaian.

“Pemilik kenderaan juga disaran memastikan kenderaan diselenggara dengan baik sebelum memulakan perjalanan bagi mengurangkan risiko kebakaran.

“Statistik menunjukkan terdapat antara satu hingga empat kes kenderaan terbakar dalam sehari. Ada yang berpunca daripada kemalangan dan ada juga disebabkan faktor lain,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN