KUALA LUMPUR: Penyanyi, Nabila Razali mengakui dirinya lebih selesa tidak terlalu mendedahkan wajah anaknya, Nik Muhammad di media sosial demi menghormati permintaan suami tercinta, Nik Iruwan.
Nabila atau Nur Nabila Mohd Razali berkata, dia akur dengan keputusan tersebut termasuklah mengenai urusan kerja seperti kolaborasi dengan mana-mana jenama yang menuntutnya untuk mendedahkan wajah putera kesayangannya.
“Buat masa sekarang saya menghormati keputusan suami di mana dia tidak membenarkan untuk terlalu mendedahkan anak kepada umum. Ada saja beberapa tawaran yang datang, tetapi saya anggap itu belum rezeki Muhammad lagi.
“Saya juga pernah meminta izin kepada suami, namun dia tetap tidak bersetuju. Kebanyakan jenama juga hanya bekerjasama dengan saya dan tidak mahu libatkan orang lain termasuk anak sendiri.
“Cuma ada sesekali saya kongsi sebab ramai bertanya perkembangan anak saya dan sekadar ingin memberitahu bahawa Nik Muhammad anak saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Nabila berkata demikian ketika ditemui di majlis menandatangi perjanjian kerjasama dengan produk minuman, Bliss yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Khamis.
Tambah Nabila, keputusan itu juga dibuat demi menjaga privasi keluarga selain bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini.
“Dengan keadaan dunia sekarang yang macam-macam berlaku termasuk penggunaan AI (teknologi kecerdasan buatan), saya sendiri pun jadi takut. Sebab itu saya amat faham dengan keputusan suami. Dia bukan simpan, tetapi mengawal demi menjaga privasi.
“Tetapi dia juga faham situasi saya apabila adakalanya ada sesetengah jenama menuntut penglibatan anak saya untuk membuat ‘content’ meskipun tidak terlibat secara langsung,” jelasnya.
Untuk rekod, Nabila mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Nik Iruwan Nik Izani pada November 2023 dan dikurniakan cahaya mata sulung, Nik Muhammad pada 23 Disember 2024.
Mengulas mengenai kerjasama dengan Bliss, Nabila menyifatkan ini merupakan permulaan buat dirinya menjinakkan diri dalam bidang keusahawan.
“Kali ini sedikit berbeza. Saya pun semakin matang dan harus berfikir ke arah lebih profesional. Untuk kerjasama ini saya betul-betul terlibat dalam pengurusan dan perihal pemasaran,” ujarnya.
Nabila juga bakal tampil dengan perisa pilihannya sendiri bersama jenama tersebut dalam masa terdekat.










