UPNM lancar Hab Kreatif, Galeri Jeneral Tun Ibrahim

UPNM lancar Hab Kreatif, Galeri Jeneral Tun Ibrahim

NAIB Canselor (tengah) turut diiringi ahli keluarga Allahyarham Jeneral Tun Ibrahim ketika merasmikan Galeri Jeneral Tun Ibrahim. -PIX UPNM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) melancarkan Hab Kreatif bernilai RM1.9 juta menerusi peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Majlis perasmian disempurnakan oleh Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad.
Arman Rumaizi berkata, peruntukan RM1.9 juta menerusi Rolling Plan Ke-5 (RP5) RMK12 digunakan sepenuhnya bagi
menaik taraf fasiliti makmal komputer serta membangunkan Hab Kreatif yang merangkumi Studio Digital.

Beliau berkata, studio digital berfungsi sebagai pusat penghasilan video profesional, rakaman multimedia, dokumentari dan kandungan pembelajaran digital interaktif, manakala Maker Space menyediakan ruang kolaboratif untuk merangsang inovasi, pemikiran kritis serta pembangunan kemahiran teknologi selaras aspirasi pendidikan abad ke-21.

Jelasnya, perpustakaan itu berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif pemerkasaan infrastruktur dan pendigitalan pembelajaran menerusi peruntukan berkenaan, termasuk menaik taraf makmal komputer serta pembinaan dua kemudahan baharu yang dikenali sebagai Hab Kreatif.

“Hab Kreatif ini bukan sahaja memperkukuh kemudahan pembelajaran digital di UPNM, malah menyediakan ruang yang kondusif bagi memupuk budaya inovasi, kreativiti dan penghasilan kandungan berkualiti dalam kalangan warga universiti,” katanya dalam kenyataan.

Pada majlis sama, UPNM turut merasmikan Galeri Jeneral Tun Ibrahim yang dinaik taraf hasil sumbangan RM100,000 daripada keluarga Allahyarham Jeneral Tun Ibrahim.

Allahyarham merupakan bekas Ketua Turus Angkatan Tentera dan penerima pertama Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengajian Strategik) sempena Istiadat Konvokesyen Pertama UPNM pada 2010.

Selain menaik taraf galeri, dana berkenaan turut digunakan bagi menghasilkan video dokumentari khas untuk memelihara warisan intelektual tokoh itu.

Galeri itu menghimpunkan pelbagai koleksi peribadi termasuk buku, pingat kebesaran dan foto-foto sejarah yang disumbangkan keluarga arwah pada April tahun lalu sebagai sumber rujukan kepada warga universiti, penyelidik serta masyarakat.

Arman Rumaizi berkata, galeri itu diharap menjadi medium untuk menghidupkan semangat perjuangan, kepemimpinan dan kecemerlangan Allahyarham, sekali gus menyemai nilai patriotisme serta semangat pengabdian kepada negara dalam kalangan pegawai kadet dan warga UPNM.

“Saya berharap galeri ini akan terus menjadi sumber inspirasi dan jambatan yang menghubungkan sejarah dengan generasi masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, mewakili keluarga Allahyarham, Mariam Ibrahim, Datin Zairin Ibrahim dan Ahmad Ibrahim menyifatkan penubuhan galeri berkenaan sebagai penghormatan besar kepada jasa figura itu.

Menurut mereka, galeri itu bukan sahaja mengiktiraf sumbangannya kepada negara, malah memastikan nilai kepemimpinan, semangat pengorbanan dan kecintaan terhadap tanah air terus diwarisi generasi akan datang. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN