KLUANG: Prestasi pelaksanaan keseluruhan program infrastruktur luar bandar di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah sepanjang Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) mencapai 97.65 peratus.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pencapaian itu dibentangkan menerusi kertas prestasi infrastruktur luar bandar dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.
Katanya, kajian prestasi tersebut meliputi tempoh sepanjang RMK12 dengan mengambil kira pelaksanaan pelbagai program infrastruktur KKDW di seluruh negara.
“Pencapaian fizikal itu merangkumi pembinaan jalan luar bandar, kerja menaik taraf serta penyelenggaraan kemudahan berkaitan.
“Tempoh kajian yang dijalankan adalah sepanjang RMK ke-12 dan Alhamdulillah pencapaian kita sepanjang RMK ke-12 adalah sebanyak 97.65 peratus,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sesi Libat Urus Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Seluruh Negeri Johor di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, ukuran kejayaan pembangunan luar bandar bukan hanya berdasarkan pencapaian fizikal, sebaliknya kesan kepada kehidupan masyarakat desa.
Katanya, kewujudan infrastruktur luar bandar telah membuka peluang pendidikan, melahirkan usahawan serta mengurangkan penghijrahan penduduk ke kawasan bandar.
“Selain itu, kesinambungan pembangunan dalam RMK12 perlu memberi penekanan terhadap pengisian masyarakat luar bandar, bukan sekadar menyediakan infrastruktur.
“Usaha itu penting bagi mempertahankan industri baharu serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan untuk penduduk desa.
“Oleh itu, pencapaian tersebut akan diteruskan di Johor menerusi kerjasama antara KKDW, kerajaan negeri dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ). Ini kerana, pembangunan luar bandar perlu menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat desa yang berdaya saing serta mampu menikmati peluang ekonomi,” katanya. – UTUSAN










