Krisis dunia cabaran laksana RMK12

Krisis dunia cabaran laksana RMK12

BARJOYAI BARDAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Krisis antara negara Barat dan kuasa baharu dunia sehingga menyebabkan ekonomi goyah adalah antara cabaran terbesar buat Malaysia untuk merealisasikan Ranca­ngan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, krisis tersebut mungkin berlarutan dan me­ngakibatkan kos pelbagai barang meningkat.

Kata beliau, keadaan tersebut boleh menyebabkan Malaysia mengalami krisis makanan ter­utama apabila terdapat beberapa buah negara mula melakukan sekatan dan mengurangkan pengeksportan bekalan mereka ke luar negara.

“Ada yang menjangkakan harga barangan makanan di Malaysia meningkat daripada 30 sehingga 60 peratus terutama barangan makanan bermasak. Jadi ini membimbangkan semua isi rumah kerana ia berlaku impak negatif ditanggung oleh kita.

“Kita sekarang ini sudah mencapai tahap yang baik dalam mengawal inflasi iaitu apabila kadar inflasi negara menurun sehingga dua peratus walaupun kadar inflasi makanan masih enam peratus tetapi krisis tersebut boleh menyebabkan kita ‘reverse’ sekiranya ia berlarutan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Kajian Separuh Penggal RMK12 yang dibentangkan semalam mengetengahkan 17 anjakan besar melalui tiga fokus utama iaitu memperkukuh kemampanan, pembangunan sejahtera dan mencapai berpendapatan tinggi.

Dr. Barjoyai berkata, negara juga perlu memberi perhatian terhadap ‘perang kewangan’ yang berlaku ketika ini.

“Sekarang ini mata wang baharu akan diwujudkan oleh kumpulan BRICS (kumpulan yang terdiri daripada beberapa buah negara seperti India, China dan Afrika Selatan) dalam pada masa dolar AS (Amerika Syarikat) semakin rapuh.

“Sama ada ini akan berterusan ataupun AS sedang mela­kukan strategi untuk me­ngukuhkan kembali kedudukan mereka, negara-negara kecil seperti kita akan terjejas kerna masih bergantung kepada dolar AS dan masih tidak membuat keputusan sama ada mahu berpaut pada China,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN