Padah cederakan kawan, wanita Indonesia dipenjara 15 tahun

Padah cederakan kawan, wanita Indonesia dipenjara 15 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang wanita Indonesia yang melumur serbuk cili ke dalam seluar dalam rakan senegaranya sebelum mencungkil mata dan mencucuk badan mangsa menggunakan gunting dihukum penjara 15 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Mazuliana Abdul Rashid turut mengenakan denda RM3,000 terhadap tertuduh, Erna Wati, 41, selepas merekodkan pengakuan bersalah wanita berkenaan yang dilihat menangis sepanjang prosiding.

Wanita itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Dyah Ayu Kurniasari, 43, menggunakan gunting kira-kira pukul 10.30 malam, 7 Oktober lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan.

Berdasarkan fakta kes, pada 7 Oktober lalu kira-kira pukul 11.56 malam, pengadu yang bertugas di Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) menerima seorang pesakit wanita warga Indonesia yang dibawa menaiki ambulans dari hadapan Pulapol dalam keadaan separuh sedar dengan kecederaan di bahagian badan, tangan dan muka.

Siasatan mendapati, ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Lot Sri Rampai, mangsa dijemput oleh rakannya yang dikenali sebagai Ayu atas alasan ingin mengajaknya keluar minum.

Mangsa kemudian menaiki sebuah kereta bersama tertuduh dan dua lagi individu lain manakala sebuah lagi kenderaan yang dinaiki suami tertuduh mengekori dari belakang.

Ketika berada di dalam kereta, tertuduh mengarahkan rakannya yang dikenali sebagai Kak Ina supaya memandu laju sambil menyoal mangsa.

Akibat tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan, Erna menyuruh rakannya, Ernik memegang mangsa sebelum tertuduh melumurkan serbuk cili pada muka mangsa.

Tertuduh turut bertindak mencakar dan menampar mangsa beberapa kali, mencungkil mata serta menggunting pakaian mangsa menggunakan gunting sebelum mencucuk belakang badan mangsa beberapa kali dengan gunting dan memasukkan serbuk cili ke dalam seluar dalam mangsa yang kemudiannya ditinggalkan di tepi jalan berhampiran Pulapol dalam keadaan separuh sedar.

Pemeriksaan perubatan mendapati mangsa mengalami beberapa luka akibat tikaman dan cakaran serta kesan serbuk cili di dalam seluar, selain terdapat kesan rambut yang telah dipotong pada badannya.

Peguam bela, Ahmad Ikram Ab. Alim merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan mengambil kira tertuduh telah menetap di Malaysia selama 20 tahun dan mempunyai lima anak berusia antara lima hingga 11 tahun serta tidak pernah disabitkan kesalahan sebelum ini.

“Saya pohon agar tempoh tahanan reman diambil kira sebagai sebahagian hukuman. Tertuduh benar-benar insaf dan kesal atas perbuatannya. Ini merupakan kesalahan pertama sepanjang 41 tahun hidupnya,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Izzat Amir Idham memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira tahap kekejaman terhadap mangsa dan kepentingan awam.

“Perbuatan tertuduh amat kejam dan mencerminkan unsur keganasan terhadap wanita. Hukuman berat perlu dijatuhkan sebagai pengajaran agar tidak berulang,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun bermula dari tarikh tangkap dan denda RM3,000 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN