KUALA LUMPUR: Himpunan Sumud Flotilla di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di ibu negara bertukar kecoh selepas berlaku ketegangan antara peserta dengan pihak polis apabila laluan keluar masuk ke bangunan itu disekat.
Demonstrasi yang dianjurkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) itu diadakan bagi membantah tindakan Tentera Pertahanan Israel (IDF) menahan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) pagi tadi.
Keadaan menjadi tegang apabila pihak polis berusaha meleraikan tindakan peserta yang menghalang lalu lintas sehingga mencetuskan sedikit kekecohan.
Difahamkan, terdapat beberapa individu ditahan kerana melakukan provokasi, namun masih belum dipastikan sama ada mereka dibawa ke balai polis atau sebaliknya.
Himpunan ini dijangka menghimpunkan seluruh rakyat Malaysia bagi mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis menahan warganegara Malaysia yang ke Gaza melalui saluran sah di sisi undang-undang.
Lebih memberi kemarahan rakyat, penahanan ini jelas mencabuli undang-undang antarabangsa, manakala Amerika Syarikat terus berdiam diri seolah-olah merestui kekejaman Israel. – UTUSAN










