NCAM teraju usaha tangani kesihatan mental murid

NCAM teraju usaha tangani kesihatan mental murid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCAM) memainkan peranan penting dalam memimpin dan menyelaras usaha menangani isu kesihatan mental dalam kalangan murid sekolah di seluruh negara.

NCAM, yang beroperasi di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), tampil sebagai agensi utama dalam menyediakan sokongan psikososial, intervensi krisis serta membina jaringan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM), khususnya dalam menangani cabaran yang melibatkan emosi dan kesejahteraan mental pelajar.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, peranan NCAM semakin kritikal susulan peningkatan kes melibatkan tekanan, kemurungan dan kebimbangan dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah, terutamanya pasca pandemik.

“NCAM bukan sahaja menjalankan pemantauan dan sokongan intervensi awal, malah menjadi pusat rujukan utama yang dinamik dalam menyokong KPM bagi menangani isu kesihatan mental dalam kalangan murid.

“Mereka juga bertindak pantas dalam situasi bencana dan krisis melalui penyediaan Psychological First Aid (PFA) dan pasukan sokongan psikososial di lapangan,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Parlimen, hari ini.

Beliau berkata, NCAM juga sedang memperkukuh kerjasama dengan KPM untuk membolehkan pertukaran data dan maklumat secara lebih berkesan, demi memastikan intervensi yang dilaksanakan benar-benar menyasarkan golongan yang memerlukan.

“Walaupun data kaunseling murid dianggap sensitif dan sulit, pendekatan ‘Whole-of-Government’ di bawah Kerajaan Madani akan membolehkan perkongsian maklumat antara kementerian dilaksanakan secara strategik, tanpa menjejaskan kerahsiaan murid.

“Kita percaya tiada halangan untuk data daripada NCAM dikongsi bersama ahli psikologi dan kaunselor sekolah di bawah KPM. Perbincangan lanjut dengan Menteri Pendidikan akan diadakan bagi mempermudah kerjasama ini,” katanya.

Jelasnya, NCAM turut menjalankan penilaian dan program intervensi di sekolah-sekolah bagi menangani masalah mental yang dikesan awal.

“Usaha ini dilihat penting bagi mengelakkan masalah murid daripada berlarutan dan menjejaskan pencapaian akademik serta kesejahteraan sosial mereka.

“KKM telah mula turun ke sekolah-sekolah melalui program intervensi. Ini adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan untuk memastikan murid kita kekal sihat secara mental,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN