Pesawat sepatutnya terbang 20 minit terhempas - Utusan Malaysia

Pesawat sepatutnya terbang 20 minit terhempas

PESAWAT C6-FLX terhempas di Nassau. - Facebook/Flamingo Air
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NASSAU: Sepuluh orang disahkan terkorban selepas sebuah pesawat kecil terhempas dalam satu kejadian mengejut di Bahamas ketika dalam penerbangan yang sepatutnya hanya mengambil masa selama 20 minit.

Lembaga Siasatan Kemalangan Pesawat Bahamas memaklumkan, tragedi itu berlaku sejurus sebelum jam 1 petang waktu tempatan Jumaat di North Andros, yang terletak di barat ibu negara kepulauan berkenaan, Nassau.

Pesawat milik syarikat penerbangan Flamingo Air itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Lynden Pindling di Nassau menuju ke Lapangan Terbang San Andros yang terletak sejauh 64 kilometer.

Bagaimanapun, pihak berkuasa menambah, pesawat terbabit dilaporkan mengalami kesukaran lalu terhempas ke dalam kawasan semak sebelum sempat mendarat.

Rakaman video di lokasi kejadian menunjukkan serpihan bangkai pesawat yang masih berasap bertaburan di kawasan hutan berkenaan.

Tragedi hitam itu berlaku pada hari yang sama Bahamas menyambut ulang tahun kemerdekaannya yang ke-53, menyebabkan Perdana Menteri Philip Brave Davis menyifatkan sambutan tersebut kini bertukar menjadi hari berkabung.

“Kita berkumpul di bawah awan kesedihan yang amat mendalam.

“Kepada setiap keluarga yang menerima berita duka bahawa orang tersayang mereka tidak akan kembali lagi ke rumah, kami mengucapkan takziah,” kata Davis memetik laporan agensi berita Associated Press.

Davis pada mulanya memaklumkan bahawa seorang mangsa terselamat dalam nahas itu.Namun, beliau kemudiannya mengesahkan individu berkenaan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami.

Beberapa pemuzik dan seorang DJ merupakan antara mangsa yang terkorban, menurut Kesatuan Pemuzik dan Penghibur Bahamas pada Sabtu, sehari selepas insiden maut itu berlaku.

Nahas itu mendorong kerajaan Bahamas menggantung sementara operasi penerbangan Flamingo Air.

Pihak berkuasa mengenal pasti pesawat itu sebagai sebuah Cessna 402 berdaftar di Bahamas dengan nombor pendaftaran C6-FLX. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN