Mumia tertua dunia di Asia Tenggara

Mumia tertua dunia di Asia Tenggara

RANGKA wanita berusia 8,000 hingga 6,700 tahun ditemukan di Liyupo, Guangxi, dipercayai diawet dengan asap dan dikebumikan dalam posisi mencangkung, amalan praneolitik di selatan China. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKUMPULAN saintis melaporkan penemuan mumia tertua di dunia di Asia Tenggara yang dianggarkan berusia sehingga 12,000 tahun.

Penemuan yang diterbitkan dalam jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences (PNAS) pada Isnin lalu, disifatkan sebagai bukti tertua amalan mumifikasi manusia, menerusi analisis terhadap puluhan tapak pengebumian.

Proses pengawetan mayat yang menghalang pereputan dan memelihara tubuh boleh berlaku secara semula jadi di kawasan seperti Gurun Atacama di Chile atau paya gambut di Ireland.

Namun, dalam pelbagai budaya, manusia turut mengawet mayat nenek moyang mereka sebagai tanda penghormatan atau kepercayaan untuk menghantar roh ke alam akhirat.

Saintis menjelaskan, amalan itu sudah lama dipraktikkan di seluruh dunia melalui pelbagai teknik, termasuk haba, asap, garam, pengeringan beku dan pembalseman, bagi menghalang pereputan mayat.

KAEDAH PENGERINGAN ASAP

Rangka purba yang ditemukan di China, Vietnam dan Indonesia tidak menunjukkan kesan pengawetan jelas, namun analisis terhadap kesan hangus pada tulang yang dikebumikan dalam posisi mencangkung menunjukkan ia terdedah kepada haba rendah dalam tempoh lama, sekali gus mengeringkan serta memelihara tubuh.

Selain itu, penemuan serupa turut direkodkan dalam jumlah lebih kecil di Filipina, Laos, Thailand, Malaysia dan Indonesia.

Hasil kajian lanjut mendapati tubuh berkenaan berkemungkinan didedahkan kepada haba dan dikeringkan dengan asap di atas api, menunjukkan ia diawet oleh komuniti pemburu di rantau itu.

Kaedah pengeringan asap terhadap mayat pernah direkodkan dalam sejarah masyarakat pribumi Australia dan masih diamalkan di Papua New Guinea, menurut penyelidik.

Kajian mendapati persamaan jelas antara posisi mencangkung rangka purba dengan mumia moden hasil kaedah pengeringan asap, yang menimbulkan kemungkinan amalan sama digunakan dalam pengebumian kuno di Asia Tenggara.

Sebelum ini, contoh terawal mumifikasi direkodkan daripada budaya Chinchorro di utara Chile sekitar 7,000 tahun lalu serta Mesir purba kira-kira 4,500 tahun dahulu.

Namun, penemuan terbaharu di Asia Tenggara membuktikan amalan itu bermula ribuan tahun lebih awal, kata ketua penyelidik dari Universiti Kebangsaan Australia, Dr. Hsiao chun Hung.

“Kami percaya tradisi ini mencerminkan naluri manusia, harapan agar keluarga dan orang tersayang dapat terus ‘bersama’ selamanya, dalam apa jua bentuk sekalipun,” katanya.

TRADISI PURBA

Pasukan penyelidik mendedahkan sebanyak 54 pengebumian dalam posisi mencangkung dikenal pasti di 11 tapak arkeologi.

Penyelidikan yang dijalankan antara 2017 hingga 2025 itu memberi tumpuan kepada penemuan rangka di selatan China, utara Vietnam dan Pulau Sumatera di Indonesia.

Laporan turut menyebut pengebumian serupa pernah ditemukan sebelum ini di Sarawak, Malaysia, selatan Jawa, Indonesia serta utara Palawan di Filipina, namun penemuan berkenaan tidak termasuk dalam analisis kajian terbaharu.

Saintis mendedahkan, posisi mencangkung ekstrem dengan kali dilipat rapat ke badan merupakan ciri utama pengebumian praneolitik, khususnya di selatan China dan Asia Tenggara.

Pengebumian seumpama itu biasanya ditemukan di dalam gua, di bawah lindungan batu atau atau timbunan kulit kerang.

Penulis utama kajian,Prof. Emiritus Hirofumi Matsumura dari Universiti Perubatan Sapporo di Jepun, menegaskan kedudukan rangka itu kelihatan mustahil secara anatomi.

Menurut penyelidik, tubuh dilipat begitu rapat sehingga kebanyakan tisu lembut dipercayai hilang ketika dikebumikan, manakala banyak rangka menunjukkan kesan hangus pada tulang.

Memandangkan hanya sebahagian rangka yang menjadi hitam, saintis menolak kemungkinan tulang itu terbakar akibat proses pembakaran mayat.

Kesan hangus yang konsisten pada lokasi tertentu tubuh, seperti belakang siki, depan tengkorak dan anggota bawah, memberikan petunjuk baharu.

Bahagian tulang tersebut dilitupi lapisan otot dan lemak yang lebih nipis, sekali gus mudah terbakar sekiranya tubuh diletakkan di atas api. – UTUSAN
– CNN/AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN