MELAKA: Persatuan Pelancongan Negeri Melaka (MTA) akan menganjurkan ‘MTA Kaki Race’ edisi keempat penganjurannya di Menara Taming Sari pada 25 Oktober ini.
Presiden MTA, Madelina WL Kuah berkata, pertandingan berkonsepkan Amazing Race dan Treasure Hunt itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM20,000.
Menurutnya, pihaknya mensasarkan sebanyak 50 pasukan membabitkan lima peserta dijangka mengambil bahagian di sekitar kawasan tumpuan pelancong di Banda Hilir.
Beliau berkata, pertandingan itu diadakan bertujuan menyemarakkan lagi menjelang sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dan Tahun Melawat Melaka 2026 (TMM2026).
“Setakat ini sambutan amat mengalakkan apabila sebanyak 40 pasukan telah mendaftar untuk mengambil bahagian bukan sahaja dari negeri ini tetapi dari luar Melaka.
“Kita mengharapkan menjelang tarikh tutup pada 17 Oktober ini sebanyak 50 pasukan akan mendaftar untuk menyertai pertandingan ini,” ujarnya dalam sidang akhbar di pejabat BPP Kota Cemerlang, Ayer Keroh di sini hari ini.
Magdelina berkata, majlis penutup akan disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf itu mendapat Kerjasama daripada Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Jabatan Ketua Menteri dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Menurutnya, setiap pasukan perlu berjalan kaki serta menjawab soalan berkaitan pelancongan dan melakukan aktiviti sepanjang jarak perjalanan antara 5 hingga 8 kilometer (km).
Beliau berkata, juara akan membawa pulang hadiah wang tunai RM7,500, naib juara mendapat RM4,000, ketiga RM3,000, keempat RM2,000, kelima RM1,000 dan keenam RM800.
Ujarnya, pertandingan itu juga bertujuan mendekatkan orang ramai kepada kesan sejarah di sekitar Banda Hilir yang mungkin sebelum ini mereka tidak mengetahuinya.-UTUSAN










