MIC mengaku masih sayangkan BN - Utusan Malaysia

MIC mengaku masih sayangkan BN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: MIC mengakui masih sayang Barisan Nasional (BN) di sebalik desas-desus parti itu mahu meninggalkan gabungan tersebut ekoran desakan akar umbi untuk berbuat demikian.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, parti itu tidak pernah berhasrat meninggalkan BN kerana hubungan antara kedua-dua parti yang terjalin lebih enam dekad membuktikan keseimbangan politik pelbagai kaum di negara ini.

Kata beliau, sebaliknya MIC kini seolah dipinggirkan apabila tidak diberikan ruang dan peranan dalam pentadbiran meskipun sebahagian parti kerajaan sekali gus menyebabkan akar umbi mencadangkan parti agar keluar daripada BN.

“Perjuangan MIC tidak pernah berasaskan kepentingan individu atau jawatan, sebaliknya tanggungjawab menjaga keseimbangan politik kaum di bawah pucuk pimpinan BN.

“Kita macam keluarga. Sudah hampir 63 tahun bersama. Yang suka, suka tapi tak nak keluar. Bukan senang. Ini kalau suami isteri, baru bercinta setahun pun terus tak nak keluar. Inikan pula 60 hingga 70 tahun, kita macam satu keluarga. Bukan mudah.

“MIC anggap hubungan dengan UMNO dan BN sebagai satu keluarga politik yang sudah melalui pelbagai cabaran sejak zaman Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman hingga kini,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan BN bersikap terbuka dan tidak akan menghalang sekiranya MIC berhasrat meninggalkan gabungan tersebut.

MIC kini dikatakan sedang menilai kemungkinan untuk menarik diri daripada BN susulan rasa tidak puas hati terhadap kedudukan mereka dalam landskap politik nasional, terutama selepas UMNO di bawah kepimpinan Ahmad Zahid menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Antara kebimbangan utama kedua-dua parti itu ialah pembahagian kerusi pilihan raya yang dilihat lebih memihak kepada parti penyandang.

Mengulas kedudukan BN menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Saravanan berkata, gabungan itu berpeluang besar menang jika bergerak solo dengan mengembalikan kepercayaan rakyat dan tampil dengan pendekatan baharu serta kepimpinan lebih meyakinkan.

Katanya, pengalaman mentadbir negara selama puluhan tahun membuktikan BN masih mempunyai kekuatan tersendiri berbanding gabungan politik lain.

“Majoriti rakyat Malaysia masih merindui pentadbiran BN. Sekiranya BN bergerak secara solo, parti ini berpeluang memenangi lebih banyak kerusi berbanding jika bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) di bawah identiti baharu.

“Jika BN menampilkan poster boy yang meyakinkan, tidak kira sama ada daripada kalangan Melayu, Cina atau India, berkemungkinan dua pertiga daripada kerusi yang ditandingi mampu dimenangi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN