‘Mek Kelate’ tetap beli emas walau harga RM591 segram - Utusan Malaysia

‘Mek Kelate’ tetap beli emas walau harga RM591 segram

WANITA Kelantan membanjiri kedai emas di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan untuk membeli perhiasan itu, meskipun harga naik mendadak ketika ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kenaikan harga emas yang mendadak sehingga mencecah RM591 segram tidak menghalang wanita Kelantan atau ‘Mek Kelate’ menyerbu dan membeli perhiasan tersebut.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, hampir semua premis menjual emas dipenuhi wanita Kelantan untuk membeli perhiasan tersebut tanpa banyak soal.

Difahamkan, trend itu berlaku apabila orang ramai membuat pembelian panik kerana bimbang harga emas akan terus melonjak selepas ini.

Pembeli, Rohani Abdullah, 45, berkata, kenaikan harga emas yang disifatkan tertinggi ketika ini memberi peluang kepadanya membuat belian dengan cara menukar rantai tangan lama kepada baharu.

“Sejak berita harga emas terus melonjak, saya ke kedai emas untuk melihat reka bentuk baharu. Saya hanya perlu menambah wang sebanyak RM2,500 untuk mendapatkan rantai dan rantai tangan. Bagi saya emas adalah pelaburan terbaik,” katanya.

Pada 21 Oktober lalu, akhbar ini melaporkan harga emas dijangka terus meningkat dalam tempoh enam bulan akan datang, dipacu oleh ketidaktentuan geopolitik, dasar monetari longgar oleh bank pusat utama dunia serta peningkatan permintaan terhadap emas fizikal.

Peniaga, Zakiah Zul, 35, berkata, dia mengambil kesempatan menjual barang kemas miliknya untuk dijadikan modal mengembangkan kedai runcit.

“Jika ada untung lebih selepas ini, saya beli dan simpan semula emas. Simpan emas tidak rugi kerana harganya terus naik. Emas adalah pelaburan jangka panjang terbaik selepas rumah dan tanah,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Sumber Manusia MZ Gold Sdn. Bhd., Nur Akmal Ahmad Tajuddin berkata, sepanjang kenaikan itu, pihaknya sudah menjual lebih dua kilogram emas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN