Peniaga, syarikat kecil berdaftar layak nikmati kad fleet SKDS - Armizan

Peniaga, syarikat kecil berdaftar layak nikmati kad fleet SKDS – Armizan

ARMIZAN Mohd. Ali ketika ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Projek Kampung Angkat MADANI bertempat di Kampung Sekalong - RAEESAH HANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENUMBOK: Kerajaan meluluskan peluasan Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi membolehkan peniaga dan syarikat kecil yang berdaftar sebagai milikan tunggal, menikmati kemudahan kad fleet dengan kuota 300 liter diesel bersubsidi sebulan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan mengenal pasti terdapat kumpulan peniaga kecil yang terkesan dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel kerana tidak memenuhi syarat asal skim berkenaan.

Menurut beliau, ketika SKDS dilaksanakan pada 1 Julai lalu, permohonan kad fleet sebelum ini terhad kepada kenderaan didaftarkan atas nama individu dan kenderaan perniagaan atau syarikat pengangkutan barangan di bawah kelas kegunaan pengangkutan barangan pengguna.

“Bagaimanapun, terdapat kontraktor dan peniaga kecil di Sabah yang menggunakan kenderaan diesel bagi menjalankan perniagaan, namun kenderaan itu didaftarkan atas nama syarikat dan bukannya individu.

“Keadaan itu menyebabkan mereka tidak layak di bawah kategori asal SKDS walaupun menggunakan diesel untuk tujuan perniagaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Projek Kampung Angkat MADANI di Kampung Sekalong, di sini hari ini.

Armizan berkata, berdasarkan data sistem MySikap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membawa isu berkenaan ke perhatian Jemaah Menteri.

Katanya, Kabinet kemudian meluluskan peluasan skim itu berkuat kuasa serta-merta bagi membolehkan syarikat kecil yang berdaftar sebagai milikan tunggal menerima kuota 300 liter diesel bersubsidi sebulan melalui kad fleet, walaupun kenderaan didaftarkan atas nama syarikat.

“Ini membuktikan Kerajaan Persekutuan sentiasa bersedia menambah baik mekanisme pelaksanaan asalkan kita mempunyai data yang tepat bagi memastikan subsidi disasarkan kepada golongan yang benar-benar layak,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan memastikan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel tidak membebankan peniaga kecil yang bergantung kepada kenderaan diesel untuk menjalankan operasi harian.

Katanya, KPDN akan terus memantau pelaksanaan skim berkenaan serta mengemukakan cadangan penambahbaikan dari semasa ke semasa bagi memastikan dasar subsidi bersasar dilaksanakan secara lebih adil dan berkesan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN