PORT DICKSON: Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di lapan buah pusat penamaan calon berlangsung lancar tanpa ada sebarang kejadian tidak diingini.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, keadaan adalah terkawal sepanjang tempoh berkenaan malah penyokong setiap parti bertanding juga mematuhi setiap arahan polis.
“Maklum balas saya terima daripada semua ketua polis daerah, kami dapati keadaan di kelapan-lapan pusat penamaan calon berjaya dikawal dan kesemua penyokong parti mengikut nasihat dan arahan.
“PDRM Negeri Sembilan telah mengerahkan seramai 2,373 pegawai dan anggota yang ditugaskan di kesemua pusat penamaan calon. Kawalan ini termasuklah keselamatan di dalam dan luar pusat penamaan calon.
“Kami juga melakukan kawalan lalu lintas dan hasil maklum balas kami dapati lalu lintas dan penyokong-penyokong parti, kesemuanya selamat
“Di setiap pusat penamaan calon terdapat antara 1,000 hingga 2,500 orang. Di Jempol menunjukkan jumlah yang besar, iaitu penyokong parti-parti yang bertanding berjumlah antara 2,500 orang dan di Kuala Pilah menunjukkan penyokong yang paling sedikit, iaitu 1,000 orang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar di Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson di sini, hari ini.
Alzafny berkata, hasil semakan tiada laporan polis dibuat sepanjang proses penamaan calon hari ini.
Dalam pada itu, beliau sekali lagi mengingatkan supaya setiap calon bertanding supaya menjalankan aktiviti berkempen, khususnya ceramah dan sebarang program dengan tidak menyentuh perkata sensitif dan berkaitan 3R (agama, raja dan kaum) selain yang berunsur provokasi dan hasutan. – UTUSAN










