PETALING JAYA: Larian Kesyukuran Muar oleh Ahli Parlimennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencatat kutipan dana sebanyak RM361,848 dalam tempoh dua hari, melepasi sasaran awal.
Syed Saddiq berkata, beliau sendiri terkejut dengan jumlah kutipan berkenaan kerana sasaran asal ditetapkan untuk dicapai dalam tempoh empat hari.
“Sebanyak RM361,848. Jujurnya, saya sendiri masih terkejut tengok angka ini.
“Sasaran asal kita ialah RM200,000 dalam masa empat hari tetapi dalam masa dua hari sahaja kita bukan sahaja sudah capai, malah sudah melebihinya. Alhamdulillah,” katanya menerusi perkongsian video di media sosialnya, hari ini.
Terdahulu, Syed Saddiq menerima sambutan meriah daripada penduduk setempat sebaik memasuki Negeri Sembilan dalam misi larian sejauh kira-kira 170 kilometer itu.
Misi berkenaan bermula pada 16 Julai lalu dari pekarangan Istana Kehakiman, Presint 3, Putrajaya menuju ke Muar, Johor.
Selain membawa matlamat kebajikan bagi membantu penduduk di Parlimen Muar, larian itu turut menjadi simbolik tanda kesyukuran beliau selepas melalui perjalanan panjang membersihkan nama dan maruahnya.
Mengulas laluan yang ditempuh semalam, Syed Saddiq berkata, perjalanan dari Labu melalui Seremban dan Pedas sebelum berakhir di Kota amat menguji ketahanan fizikalnya.
Katanya, beliau mengalami kekejangan otot yang teruk sehingga pada satu ketika berasa sukar untuk meneruskan larian.
“Hari ini badan memang terseksa, kekejangan otot datang satu badan dan ada masa saya sendiri rasa sangat susah untuk teruskan.
“Sekarang saya merakam video ini pun saya boleh rasa kekejangan itu hendak datang semula,” katanya.
Beliau berkata, cabaran itu bertambah apabila beliau terpaksa meredah hujan lebat ketika melalui kawasan Pedas.
Bagaimanapun, katanya, keperitan fizikal itu terubat apabila melihat orang ramai tetap menunggu di tepi jalan untuk memberi sokongan moral.
“Di Pedas, hujan sangat lebat tetapi saya betul-betul tersentuh apabila melihat masih ramai yang sanggup tunggu di tepi jalan untuk berikan semangat.
“Untuk tiga kilometer terakhir menuju ke Kota, saya sudah tidak mampu berlari dan terpaksa berjalan tetapi apabila sampai dan nampak lautan manusia menunggu, semangat itu datang balik,” katanya.
Beliau turut terharu apabila menerima sumbangan daripada orang ramai termasuk golongan veteran yang tampil menghulurkan wang tunai mengikut kemampuan masing-masing.
Katanya, sumbangan paling kecil yang diterima ialah 50 sen, namun ia tetap membawa makna besar kerana diberikan dengan penuh keikhlasan.
“Bagi saya, bukan besar atau kecil jumlahnya, setiap sen membawa makna kerana semuanya datang daripada hati,” katanya.
Sementara itu, beliau memberi jaminan keseluruhan dana yang dikumpul akan digunakan sepenuhnya untuk memperluas bantuan sosial dan pendidikan kepada masyarakat di Muar.
Katanya, perancangan awal melibatkan program bank makanan dan agihan iPad bernilai RM200,000, namun jumlah bantuan itu akan ditingkatkan susulan sokongan luar biasa diterima.
“Dengan sokongan luar biasa ini, kami akan lipat gandakan bantuan untuk masyarakat Muar.
“Lebih banyak keluarga akan menerima bantuan dan lebih ramai pelajar akan mendapat akses kepada peranti pembelajaran,” katanya.
Syed Saddiq turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang menyokong misi larian tersebut.
“Terima kasih semua dan terima kasih Malaysia. Ini bukan lagi perjalanan saya seorang, ini perjalanan kita bersama,” katanya. – UTUSAN










