MADRID: Kebakaran hutan besar yang marak selama dua hari di timur laut Sepanyol memusnahkan lebih 12,000 hektar kawasan, menurut pihak berkuasa wilayah Aragon pada Jumaat.
Mereka turut memberi amaran bahawa kebakaran itu masih berisiko tinggi untuk terus merebak.
Pegawai keselamatan kerajaan wilayah Aragon, Roberto Bermúdez de Castro, berkata keadaan sepanjang malam amat mencabar dan usaha memadamkan kebakaran berdepan pelbagai kesukaran.
“Pada masa ini, kami menganggarkan keluasan kawasan yang terbakar telah melebihi 12,000 hektar,” katanya kepada media.
Sepanyol masih berdepan kesan daripada satu lagi kebakaran hutan yang berlaku minggu lalu di wilayah Andalusia, selatan negara itu, yang mengorbankan 13 nyawa, termasuk tujuh warga Britain dan seorang warga Amerika Syarikat (AS).
Kebakaran itu turut memusnahkan kira-kira 7,000 hektar kawasan dan disifatkan sebagai tragedi kebakaran hutan paling dahsyat dalam sejarah moden negara berkenaan.
Dalam perkembangan terkini, lebih 450 anggota bomba bersama pasukan tentera sedang berusaha mengawal kebakaran yang semakin merebak berhampiran bandar Zaragoza di wilayah Aragon.
Lima kampung kecil di kawasan berkenaan dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.
Wilayah Aragon turut dilanda suhu tinggi mencecah 40 darjah Celsius sejak beberapa hari lalu, sekali gus menyukarkan operasi memadamkan kebakaran.
Menurut saintis, perubahan iklim yang didorong oleh aktiviti manusia meningkatkan tempoh, keamatan dan kekerapan gelombang haba, sekali gus mewujudkan keadaan yang lebih mudah mencetus dan mempercepatkan penyebaran kebakaran hutan.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sánchez, sebelum ini memberi amaran negara itu dijangka berdepan musim panas yang mencabar berikutan peningkatan risiko kebakaran hutan.- AFP










