PETALING JAYA: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah bertindak mengenakan kompaun kepada mereka yang terlibat dengan pembuangan sampah haram.
MBPJ dalam kenyataan berkata, hasil pemantauan dan makluman awam di Jalan 18/5 dan Jalan 18/9 mendapati terdapat longgokan sampah terdiri daripada kotak, sisa binaan serta sampah kebun yang dibuang secara tidak bertanggungjawab.
Susulan itu, MBPJ telah mengeluarkan empat kompaun kepada individu terlibat di bawah Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah-Sarap (UUKPPPS MBPJ) 2007, yang memperuntukkan denda sehingga RM1,000 bagi setiap kesalahan.
MBPJ menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang melakukan pembuangan sampah haram.
Orang ramai juga diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan dengan membuang sampah di lokasi yang telah disediakan bagi memastikan kebersihan dan kesejahteraan bandar raya kekal terpelihara.










