PM baharu Ukraine dibayangi isu rasuah - Utusan Malaysia

PM baharu Ukraine dibayangi isu rasuah

SERGEY KORETSKY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Parlimen Ukraine kelmarin meluluskan pelantikan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Naftogaz, Sergey Koretsky sebagai Perdana Menteri baharu.

Pelantikan itu dibuat ketika Presiden Volodymyr Zelensky meneruskan rombakan kerajaan kurang setahun selepas perubahan Kabinet sebelum ini, di tengah tekanan yang semakin memuncak ke atas Ukraine di medan perang dan isu rasuah dalam sektor tenaga.

Koretsky turut dikaitkan dengan ahli perniagaan, Timur Mi­ndich yang dilaporkan meninggalkan Ukraine ke Israel susulan skandal rasuah berprofil tinggi.

Mindich merupakan sekutu rapat Presiden Ukraine dan pernah digelar media sebagai ‘dompet Zelensky’.

Siasatan yang sedang dijalankan tertumpu kepada dakwaan penyelewengan dana berjumlah AS$100 juta (RM408 juta) membabitkan syarikat pengendali tenaga nuklear milik negara, Energoatom.

Menurut agensi antirasuah yang disokong negara Barat, Mindich dipercayai mempunyai kaitan dengan skandal itu, sekali gus menambah tekanan terhadap pentadbiran Zelensky yang berdepan penelitian berhubung usaha membanteras rasuah.

Menurut Ahli Parlimen Ukraine, Oleksiy Honcharenko, Koretsky adalah ‘orang kepercayaan Mindich’. Dakwaan itu dibuat pada Ogos tahun lalu dengan merujuk rakaman pengawasan didakwa bocor daripada siasatan rasuah dan kemudian diterbitkan oleh media.

Honcharenko berkata, Koretsky dilantik mengetuai Ukrnaftoburinnya, sebuah syarikat tenaga swasta yang sebelum ini dimiliki oleh bekas penaung Zelensky, Igor Kolomoysky, selepas diambil alih kerajaan.

“Dalam perancangan itu, mereka mahu menguasai aliran kewangan (dan) mengeluarkan dana berbilion dolar,” tambahnya

Katanya, berdasarkan perancangan itu, individu-individu yang dipercayai mereka akan ditempatkan mengisi jawatan-utama

Semua rancangan itu dibincangkan dan dilaksanakan di apartmen Mindich. Beliau turut mendakwa Koretsky merupakan pelaksana utama rancangan itu dan menyelaraskan semua keputusan penting bersama Mindich, yang menurutnya bertindak bagi pihak Zelensky.

Siasatan terhadap skandal Energoatom meningkatkan ketegangan antara pentadbiran Zelensky dengan Biro Antirasuah Kebangsaan Ukraine (NABU) dan Pejabat Pendakwa Raya Antirasuah Khas (SAPO), kedua-duanya disokong negara Barat.

Skandal itu turut dikatakan membawa kepada peletakan jawatan Ketua Staf Presiden, Andriy Yermak,yang sering digelar media Ukraine sebagai ‘kardinal kelabu’ kerana pengaruh besarnya dalam pentadbiran negara.

Mei lalu, NABU dan SAPO menamakan Yermak sebagai suspek dalam siasatan berasingan membabitkan dakwaan pengubahan wang haram.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN