KWAP sah pelaburan RM163.4 juta dalam eFishery

KWAP sah pelaburan RM163.4 juta dalam eFishery

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mengesahkan pelaburan berjumlah RM163.4 juta dalam syarikat pemula akuakultur Indonesia, eFishery hanya mewakili kira-kira 2.51 peratus daripada keseluruhan pegangan saham syarikat itu, selain menegaskan kedudukan kewangannya kekal kukuh dan tidak terjejas.

KWAP dalam kenyataan berkata, pihaknya merupakan pemegang saham minoriti dalam eFishery, manakala majoriti saham syarikat itu dimiliki pelabur lain termasuk beberapa institusi pelaburan global utama yang turut menjadi mangsa akibat salah laku pengurusan syarikat berkenaan.

Menurut KWAP, pendedahan mengenai manipulasi kewangan dan penyelewengan fakta dalam laporan kewangan eFishery mendorong pihaknya melaksanakan semakan dalaman secara menyeluruh terhadap keseluruhan proses pelaburan, mekanisme pemantauan pascapelaburan serta maklumat yang diterima sepanjang tempoh pelaburan dibuat.

Katanya, tindakan susulan sewajarnya telah diambil selaras dengan tadbir urus dalaman dan kerangka akauntabiliti syarikat bagi memastikan setiap kelemahan dikenal pasti serta ditambah baik.

“KWAP juga terus meneroka dan melaksanakan semua saluran yang bersesuaian bagi memaksimumkan usaha mendapatkan semula nilai pelaburan tersebut,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan KWAP menjadi mangsa penipuan membabitkan kira-kira RM200 juta oleh eFishery yang didakwa memanipulasi laporan kewangan bagi menarik pelaburan.

Skandal itu turut menjejaskan beberapa institusi pelaburan antarabangsa terkemuka termasuk Temasek Holdings dari Singapura, SoftBank dari Jepun, 42XFund dari Emiriah Arab Bersatu dan Northstar Group dari Singapura yang turut melabur dalam syarikat berkenaan.

KWAP berkata, pihaknya akan terus memperkukuh pendekatan terhadap pelaburan pasaran swasta bagi mengurangkan risiko pada masa depan.

Katanya, langkah itu melibatkan kepelbagaian portfolio yang lebih meluas, pelaburan bersama pengurus dana berpengalaman dan rakan kongsi strategik, selain meningkatkan pemantauan pascapelaburan serta memperketat pengawasan terhadap sebarang perkembangan material membabitkan syarikat portfolio.

KWAP turut menegaskan kedudukan kewangannya kekal kukuh kerana disokong portfolio pelaburan yang pelbagai merangkumi kelas aset, sektor dan lokasi geografi berbeza.

Berdasarkan pencapaian kewangan belum diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, KWAP merekodkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM8.33 bilion, manakala jumlah dana di bawah pengurusannya meningkat kepada RM195.26 bilion.

“KWAP kekal komited menguruskan dana secara berhemat, telus dan bertanggungjawab dalam melaksanakan mandat berkanunnya bagi membantu kerajaan memenuhi obligasi pembayaran pencen kepada pesara sektor awam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN