Mara peruntukan RM25 juta lonjak usahawan wanita Melaka - Utusan Malaysia

Mara peruntukan RM25 juta lonjak usahawan wanita Melaka

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA : Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyalurkan hampir RM25 juta sepanjang tahun ini bagi memperkasa usahawan Bumiputera di Melaka, dengan tumpuan utama kepada pembangunan usahawan wanita menerusi latihan, bimbingan, khidmat nasihat dan akses pasaran.

Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, berkata peruntukan itu memberi manfaat kepada hampir 1,000 usahawan wanita, sekali gus memperkukuh peranan golongan tersebut sebagai tenaga penggerak ekonomi negara.

“Wanita bukan sahaja tonggak keluarga malah turut menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negara, dengan lebih 5,000 usahawan wanita Bumiputera aktif di Melaka dalam bidang makanan, jahitan, kecantikan, peruncitan serta perkhidmatan digital.

“Mara sentiasa komited memperkasa usahawan wanita melalui latihan, bimbingan, pembiayaan serta jaringan pasaran dalam dan luar negara. Kini lebih 20 peratus perniagaan di Malaysia dimiliki oleh wanita, majoritinya usahawan Bumiputera,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penutupan Program Pemerkasaan Wanita (PPW) Mara Kota Melaka & Seminar Kenegaraan Malaysia Madani di Dewan Besar Kolej Profesional Mara, Bandaraya Melaka yang menghimpunkan 300 usahawan wanita dari pelbagai sektor.

Pada majlis berkenaan beliau turut menyampaikan bantuan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) kepada pemimpin-pemimpin wanita Negeri Melaka serta bantuan komputer riba YPM sebagai galakan kepada usaha memperkukuh pendidikan dan digitalisasi dalam kalangan wanita.

Selain itu, katanya, Mara Melaka turut menguruskan 39 projek premis perniagaan melibatkan 461 lot ruang sewa, memberi manfaat kepada 129 usahawan wanita untuk mengembangkan perniagaan mereka.

“Kemudahan yang disediakan ini diyakini memberi impak besar kepada pembangunan ekonomi negeri.

“Saya berharap pelaksanaan program seperti ini menjadi pemangkin kepada usahawan wanita untuk terus berkembang dan menembusi pasaran global, selaras dengan agenda Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA25),” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN