KUALA LUMPUR: Blog rasmi bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad iaitu chedet.com dilancarkan semula sempena ulang tahun kelahiran beliau yang ke-101 hari ini.
Pelancaran semula blog berkenaan bertujuan membolehkan orang ramai mengikuti perkembangan terkini termasuk pandangan negarawan itu berhubung pelbagai isu semasa.
Perkara itu dimaklumkan pembantu Dr. Mahathir, Sufi Yusoff menerusi saluran media rasmi Dr. M Media Updates di aplikasi WhatsApp.
“Kami telah melancarkan semula chedet.com. Jika anda berkesempatan, sila kunjungi laman blog itu,” katanya.
Beliau turut mengajak orang ramai untuk menitipkan ucapan sempena ulang tahun kelahiran Dr. Mahathir menerusi platform tersebut.
Dr. Mahathir yang merupakan Perdana Menteri Malaysia keempat dan ketujuh dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Kampung Seberang Perak, Alor Setar, Kedah.
Isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali pula bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 pada Ahad ini.
Pasangan yang telah melayari bahtera perkahwinan selama lebih tujuh dekad itu dikurniakan tujuh cahaya mata iaitu Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Maizura dan Mazhar.
Dr. Mahathir merupakan Perdana Menteri yang paling lama berkhidmat dalam sejarah negara selepas menerajui pentadbiran Malaysia selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003 sebelum kembali memegang jawatan itu dari 2018 hingga 2020.
Meskipun tidak lagi berada dalam barisan kepimpinan kerajaan, Dr. Mahathir masih aktif berkongsi pandangan berhubung pelbagai isu semasa menerusi penulisan, program bual bicara dan media sosial. – UTUSAN










