KUALA TERENGGANU: Lembaga Tabung Haji (TH) memperluas program literasi kewangan ‘Cilik-Cilik Dah Celik’ ke Pantai Timur tahun ini selepas kejayaan pelaksanaan program perintis yang melibatkan kira-kira 100 keluarga muda di Lembah Klang, tahun lalu.
Program yang mendapat kerjasama strategik Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) itu melibatkan 100 keluarga muda dari Terengganu, Kelantan dan Pahang bagi membudayakan amalan kewangan berhemah sejak usia muda sebagai persediaan menunaikan ibadah haji pada masa depan.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, kejayaan program perintis membuktikan pendekatan pendidikan kewangan yang dilaksanakan berjaya meningkatkan tabiat menabung serta tahap literasi kewangan dalam kalangan peserta.
Katanya, sepanjang program tahun lalu, 92.3 peratus daripada hampir 100 keluarga yang menyertainya menabung secara konsisten manakala lebih 50 peratus peserta mengumpul simpanan melebihi RM1,000 dalam tempoh 100 hari.
“Selain itu, kira-kira 80 peratus peserta menunjukkan peningkatan positif daripada aspek sikap, pengetahuan dan tingkah laku kewangan hasil modul pembelajaran serta intervensi yang dijalankan.
“Kejayaan ini memberi keyakinan kepada TH untuk memperluas program ke Pantai Timur bagi melahirkan lebih ramai generasi celik kewangan,” katanya pada Majlis Perasmian Program Literasi Kewangan TH Wilayah Timur di sini.
Mustakim berkata, modul pembelajaran yang interaktif membantu ibu bapa dan anak-anak merancang kewangan dengan lebih sistematik, menilai perbelanjaan secara kritis serta membuat keputusan kewangan secara lebih bijak dan berdisiplin.
“TH komited membantu masyarakat membina asas kewangan yang kukuh sebagai persediaan menunaikan ibadah haji. Persediaan itu perlu bermula dari awal melalui amalan menabung dan pengurusan kewangan yang baik agar perjalanan menuju istito’ah dapat dilalui dengan lebih tenang dan yakin,” katanya.
Sementara itu, peserta program, Nur Nabilah Alias berkata, penyertaannya dalam program berkenaan banyak membantu keluarganya menyusun perancangan kewangan dengan lebih teratur.
Katanya, ilmu yang diperoleh bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan kewangan keluarga, malah menjadi bekalan jangka panjang dalam membuat persediaan menunaikan ibadah haji.
“Program seperti ini sangat penting dalam melahirkan generasi celik kewangan yang lebih bersedia menghadapi masa depan. Semoga segala ilmu dan amalan yang dipelajari menjadi bekalan yang berpanjangan,” katanya. – UTUSAN










