Russia larang eksport diesel tangani krisis bahan api - Utusan Malaysia

Russia larang eksport diesel tangani krisis bahan api

ORANG ramai beratur untuk mengisi minyak kereta di stesen Rosneft di Moscow, susulan krisis bekalan bahan api di Russia.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Russia mengharamkan eksport diesel dalam usaha menstabilkan krisis bekalan bahan api yang semakin memburuk susulan peningkatan serangan Ukraine terhadap infrastruktur tenaga negara itu.

Langkah yang berkuat kuasa kelmarin dibuat selepas beberapa wilayah di Russia dilaporkan mengalami kekurangan bekalan bahan api. Lebih 90 peratus daripadanya berdepan catuan atau gangguan bekalan sejak Jun, menurut laporan media tempatan dan kenyataan pegawai kerajaan.

“Tindakan melarang eksport diesel berkuat kuasa hari ini (Rabu), yang akan membolehkan peningkatan bekalan ke pasaran domestik,” kata Timbalan Perdana Menteri Russia, Alexander Noval ketika mesyuarat kerajaan bersama Presiden Vladimir Putin.

Kerajaan Russia kemudian mengeluarkan kenyataan memaklumkan larangan itu akan berkuat kuasa sehingga 31 Julai.

“Keputusan itu dibuat bagi mengekalkan kestabilan pasaran bahan api domestik,” menurut kenyataan kerajaan. Ia menegaskan sekatan tersebut tidak terpakai terhadap eksport diesel dari Russia di bawah perjanjian antara kerajaan antarabangsa.

Ukraine menyerang kilang penapisan minyak Russia sehingga ke wilayah Omsk di Siberia, menyebabkan beberapa wilayah mengenakan had pembelian bahan api bagi setiap pelanggan, manakala kawasan lain melarang pengisian minyak ke dalam tong simpanan untuk mengelakkan pembelian berlebihan.

Kekurangan bekalan itu menyebabkan penduduk Russia terpaksa beratur berjam-jam untuk mendapatkan bahan api di beberapa wilayah, dengan video yang tular di media sosial menunjukkan pertengkaran berlaku di stesen minyak.

Putin sebelum ini mengakui berlaku kekurangan bahan api. Namun, beliau menganggapnya terkawal. Beliau berkata, Ukraine cuba mewujudkan situasi panik dalam masyarakat, selain menjejaskan ekonomi Russia.

Putin turut mengarahkan pegawai kerajaan supaya menyelesaikan krisis bekalan bahan api ‘ecepat mungkin di Crimea, kawasan yang mengalami kekurangan bekalan paling ketara.

Sejak beberapa bulan lalu, Ukraine menyasarkan infrastruktur tenaga Russia, khususnya kilang penapisan minyak dan depot simpanan bahan api. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN