PETALING JAYA: Malaysia menuntut pembebasan serta-merta dan tanpa syarat terhadap semua aktivis serta anak kapal Global Sumud Flotilla (GSF) termasuk rakyat Malaysia yang terlibat bersama aset mereka yang telah dirampas oleh Israel.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kerajaan mengecam sekeras-kerasnya tindakan kekerasan Israel yang menghalang misi kemanusiaan tersebut yang membawa bantuan penting untuk rakyat Palestin di Gaza.
“Ketika ini, semua usaha termasuk saluran diplomatik digunakan untuk memastikan keselamatan dan pembebasan semua aktivis kemanusiaan yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menyeru rakyat Malaysia agar sama-sama berdoa demi keselamatan kesemua aktivis dan sukarelawan berkenaan serta agar mereka segera dibebaskan.
Berdasarkan sistem pengesan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), 12 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi GSF menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza ditahan tentera Israel selepas rejim Zionis itu memintas kapal berkenaan setakat ini.
Antara yang ditahan ialah Farah Lee dan Danish Nazram dari kapal Grande Blu; Zizi Kirana yang menaiki kapal Huga serta Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairudin dan Rusydi Ramli daripada kapal Sirius.
Mesej SOS kecemasan bagi semua 12 sukarelawan berkenaan disiarkan di media sosial Sumud Nusantara, menandakan mereka dalam tahanan Israel. – UTUSAN










