Malaysia tetap main peranan walaupun tidak sertai Sidang Antarabangsa Gaza - Utusan Malaysia

Malaysia tetap main peranan walaupun tidak sertai Sidang Antarabangsa Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Malaysia tidak menghantar wakil ke Sidang Antarabangsa berkaitan Gaza kerana ia merupakan sebahagian kumpulan tidak rasmi yang telah lama wujud melibatkan beberapa buah negara Arab dan Islam tertentu.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, persidangan itu melibatkan penyertaan beberapa negara Islam besar seperti Indonesia, Pakistan dan Turkiye.

“Bukan kita tidak hantar wakil, tetapi memang kelab itu sudah lama ada iaitu kumpulan negara-negara Arab dan Islam yang berperanan secara informal di luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Mereka sudah ada susunan tetap,” katanya kepada pemberita di Rantau di sini.

Ahli Parlimen Rembau itu mengulas mengenai ketidakhadiran Malaysia dalam Sidang Antarabangsa berkaitan Gaza di Rusia, sedangkan beberapa negara Islam lain termasuk Indonesia turut terlibat.

Katanya, walaupun Malaysia tidak termasuk dalam kumpulan itu, pandangan negara ini tetap diminta dan dihormati dalam kalangan negara Islam yang lain.

“Mereka sering minta pandangan Malaysia. Baru-baru ini, dalam perbincangan berhubung Deklarasi New York dan 20 perkara yang dibentangkan selepas itu pun, saya turut dibawa berbincang secara tidak formal,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, Malaysia menyokong sebarang usaha ke arah gencatan senjata dan pelan damai bagi memastikan nasib rakyat Palestin di Gaza terus dibela.

“Saya nyatakan pendirian bahawa kita perlu terima (inisiatif damai) kerana ini peluang terakhir untuk rakyat Palestin di Gaza. Jika terlepas, pintu itu akan tertutup dan kita tidak tahu apa yang akan terjadi kepada mereka,” katanya.

Pada masa sama, Mohamad berkata masyarakat antarabangsa perlu membantu membangunkan semula Gaza yang kini musnah teruk.

“Jadi keutamaan Malaysia sekarang disamping menghantar bekalan makanan melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persendirian, Malaysia mahu menekan PBB supaya mengadakan sidang tergempar segera dan memastikan resolusi negara Palestin mendapat sokongan daripada Majlis Keselamatan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad menasihatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang berhasrat untuk meneruskan misi bantuan ke Gaza agar berkoordinasi dan menyalurkannya melalui Kementerian Luar

Ia bagi memastikan urusan penghantaran berjalan lancar serta diiktiraf pihak berkuasa antarabangsa.

“Nasihat saya senang saja, bagi mereka yang mempunyai semangat tinggi untuk membantu rakyat Gaza yang tertindas, Alhamdulillah sama-sama kita membantu.

“Namun elok jika bantuan itu dibuat secara gabungan. Daripada kita bersepah-sepah secara individu susah. Lebih baik ia dilaksanakan melalui pengetahuan Kementerian Luar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN