KUALA KRAI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menyita hampir 100 kenderaan mewah pelbagai jenama yang gagal memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) menerusi Ops Luxury sejak Mac lalu.
Pengarahnya Mohd. Misuari Abdullah berkata, Toyota Alphard, Toyota Vellfire, BMW, Mercedes-Benz dan Porsche antara kenderaan mewah yang telah disita.
Katanya, pemeriksaan mendapati ada kenderaan terlibat didapati tidak memperbaharui LKM sehingga tiga tahun.
“Ops Luxury dilaksanakan bermula Mac lalu sebagai sebahagian usaha JPJ Kelantan mempertingkatkan pematuhan undang-undang jalan raya dalam kalangan pemilik kenderaan mewah,” katanya kepada pemberita semasa Ops Khas Pemandu Warga Asing (PEWA) dan Ops Bersepadu Dadah terhadap kenderaan perdagangan di Stesen Penguat Kuasa (SPK) JPJ Laloh di sini.
Terdahulu, Utusan Malaysia pada 19 Mei lalu melaporkan, Porsche 911 GT3; Panamera; Toyota Alphard; Vellfire; Jeep Wrangler dan BMW 528i Limousine antara 42 kenderaan mewah yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri Kelantan dalam Op Khas Luxury.
Operasi yang bermula sejak Januari tahun ini menyasarkan kenderaan import dan mewah yang melakukan kesalahan terutama Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dengan 35 kes dan tiada perlindungan insurans (31) kes.-UTUSAN










