KUALA LUMPUR: Malaysia perlu memainkan peranan utama dalam menerajui agenda serantau berkaitan kelestarian, khususnya ketika dunia berdepan cabaran perubahan iklim yang semakin mendesak.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah sesetengah kuasa besar seperti Amerika Syarikat menarik diri daripada Perjanjian Paris membuktikan perlunya ASEAN bersatu dan memperkukuh komitmen bersama dalam menangani krisis alam sekitar global.
“Apabila kuasa besar berundur daripada komitmen antarabangsa, rantau ASEAN tidak boleh bergantung kepada pihak lain.
“Malaysia mesti memainkan peranan sebagai peneraju dalam membina kepimpinan serantau yang berasaskan kelestarian dan tindakan konkrit,” katanya berucap pada Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM 2025) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
Menurut Johari, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia komited meletakkan agenda kelestarian dan ekonomi hijau sebagai teras hala tuju pembangunan rantau ini bagi memastikan semua negara anggota bergerak seiring ke arah masa depan rendah karbon.
Katanya, perubahan iklim kini memberi kesan ketara kepada negara ASEAN yang bergantung kepada sektor sensitif seperti pertanian, perikanan dan pelancongan, selain terdedah kepada risiko kenaikan paras laut dan bencana cuaca ekstrem.
“Tahun lalu, suhu global mencatat paras tertinggi dalam sejarah, melepasi ambang 1.5 darjah Celcius.
“Dunia sudah terlalu lama berbicara. Kini tiba masanya kita beralih daripada perkataan kepada tindakan, janji kepada projek dan kesedaran kepada akauntabiliti,” katanya.
Beliau yang memangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, Malaysia turut memperkukuh peranan serantau melalui Kuala Lumpur Sustainability Summit (KLSS 2025) yang memberi tumpuan kepada tiga keutamaan utama iaitu adaptasi, mitigasi dan daya tahan.
Sementara itu, IGEM 2025 berfungsi sebagai platform menghubungkan dasar dengan peluang pelaburan, selain mempamerkan teknologi baharu dalam bidang tenaga bersih, mobiliti lestari, pengurusan karbon dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi.
Johari berkata, IGEM bukan hanya platform untuk syarikat besar, sebaliknya menjadi landasan penting kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk menyertai transformasi hijau negara serta memacu inovasi di peringkat akar umbi.
“PMKS ialah nadi kepada ekonomi hijau negara. Penyertaan mereka memastikan manfaat peralihan hijau dikongsi bersama seluruh masyarakat, selain membuka pasaran baharu dan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti,” ujarnya.
Menurutnya, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan menjadikan kelestarian, ekonomi hijau dan keterangkuman sebagai tunjang pembangunan negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Dalam pada itu, Johari berkata, Malaysia telah memuktamadkan NDC Partnership dan sekretariat Konvensi Kerangka Kerja PBB tentang Perubahan Iklim (UNFCCC) di bawah Perjanjian Paris, yang menjadi bukti komitmen teguh kerajaan untuk mempercepat peralihan kepada ekonomi rendah karbon.
“Sasaran ini bersifat bercita-cita tinggi namun realistik. Ia dibangunkan melalui rundingan bersama kerajaan negeri, industri dan kumpulan masyarakat sivil. Setelah diluluskan oleh Jemaah Menteri, Malaysia akan mengemukakan NDC 3.0 kepada Sekretariat UNFCCC,” katanya.










