PETALING JAYA: Dakwaan kononnya terdapat minuman beralkohol dalam sebuah majlis makan malam dianjurkan oleh Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, sehingga menyebabkan tetamu beragama Islam meninggalkan majlis lebih awal adalah tidak berasas serta mengelirukan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, majlis makan malam itu sebenarnya adalah inisiatif pihak industri dan sektor swasta.
Beliau berkata, Tourism Malaysia hanya bertanggungjawab menganjurkan acara Global Travel Meet selama dua hari setengah, yang berjaya menjana impak ekonomi bernilai RM420 juta.
“Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia hanya memainkan peranan sebagai pemudah cara, serta mengambil peluang tersebut untuk mempromosikan siri acara kalender Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
“Tourism Malaysia hanya meminjam platform majlis makan malam tersebut bagi tujuan pelancaran kalender berkenaan.
“Ia satu peluang untuk memperkenalkan Malaysia kepada dunia melalui kerjasama erat dengan pihak industri. Sebanyak 318 acara daripada setiap negeri di Malaysia telah disenaraikan dalam Kalendar Acara TMM2026 ini. Adakah usaha sebegini juga dianggap salah?” katanya dalam kenyataan akhbar.
Sebelum ini, majlis makan malam berkenaan mencetuskan kontroversi selepas Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mendakwa minuman beralkohol dihidangkan secara terbuka dalam acara yang dimasukkan dalam agenda rasmi Tourism Malaysia.
King Sing berkata, segala pengisian makanan dan minuman dalam majlis makan malam tersebut bukan di bawah penyediaan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia.
“Peranan kami hanyalah tertumpu kepada penyelarasan persembahan seni dan budaya serta pelancaran Kalendar Acara TMM2026 yang turut diadakan pada malam tersebut.
“Motac sentiasa menghormati kepelbagaian budaya dan pegangan agama di Malaysia, dan tidak akan sama sekali membenarkan sebarang penyelewengan fakta.
“Dalam majlis makan malam tersebut, penganjur telah menyediakan pelbagai pilihan minuman tanpa alkohol dengan mencukupi, serta memenuhi keperluan pelbagai tetamu antarabangsa, demi memastikan setiap aspek diraikan dengan sebaiknya,” katanya.
Beliau turut menyarankan agar wakil rakyat itu menumpukan perhatian kepada perkara yang benar-benar dapat memacu kemajuan negara.
Jelasnya, ia penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta sektor pelancongan boleh menjadi pemangkin kepada peluang pekerjaan dan penjanaan tukaran asing.
“Melalui pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026, kita dapat mengangkat imej negara ke tahap yang lebih tinggi. Lebih penting lagi, anda juga mempunyai tanggungjawab untuk turut mempromosikan pelancongan negara kita sendiri, khususnya negeri dan kawasan yang anda wakili,” katanya. – UTUSAN










