KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini mengambil masa lima hari untuk membaca 740 pertuduhan terhadap seorang bekas kakitangan sebuah stesen televisyen berbayar yang didakwa mengubah suai sistem pangkalan data syarikat berkenaan tanpa kebenaran.
Tertuduh, Nora Idayu Jaafar, 48, mula didakwa pada 4 Jun lalu namun sesi pendakwaan terhadapnya tertangguh apabila selepas wanita itu pengsan selepas pertuduhan ke-30 direkodkan.
Prosiding pendakwaan kemudian bersambung semula pada 26 Jun lalu dengan 132 pertuduhan dibacakan. Prosiding ditangguhkan lebih sebulan bagi membolehkan tertuduh menjalani pemeriksaan dan penilian psikiatri selepas peguamnya mendakwa wanita itu mengalami tekanan.
Selepas disahkan sihat, pendakwaan diteruskan pada 29 dan 10 September dengan hampir 289 pertuduhan dibacakan.
Hari ini, mahkamah hanya membaca baki 44 pertuduhan sahaja.
Pada prosiding hari ini, Nora Idayu mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya bagi kesemua 44 pertuduhan selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Suhaila Haron.
Sama seperti pertuduhan lain, Nora Idayu yang sebelum ini bertugas di Unit Sokongan Komersial didakwa melakukan pengubahsuaian data dengan menukar akaun pelanggan biasa kepada akaun korporat tanpa kebenaran sehingga menyebabkan perubahan kandungan pangkalan data syarikat tanpa kuasa sah.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Astro, Menara Icon, Jalan Tun Razak pada tahun 2014 dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin tambahan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin warganegara tempatan berserta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai serta melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.
Dengan itu, jumlah keseluruhan jaminan yang dibayar oleh tertuduh ialah sebanyak RM32,000. Sebanyak RM20,00 telah dibayar oleh penjamin pada prosiding terdahulu.
Pada prosiding hari ini juga, Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Abd. Rahman memaklumkan pihak pendakwaan bakal memanggil seramai 35 saksi bagi perbicaraan yang akan ditetapkan kemudian. Tertuduh diwakili peguam Daniel Annamalai.
Mahkamah menetapkan 18 November ini sebagai tarikh sebutan semula. – UTUSAN










