DAMSYIK: Satu letupan bom menggegarkan sebuah kafe di ibu negara Syria, Damsyik pada Khamis, mengorbankan sembilan orang dan mencederakan 20 yang lain, menurut pihak berkuasa.
Ia merupakan cabaran terbaharu kepada kepimpinan Islamis negara itu ketika mereka berusaha menstabilkan keadaan selepas lebih sedekad peperangan berlaku di Syria.
Kejadian berlaku berhampiran Istana Kehakiman di ibu negara, sebuah bangunan penting kerajaan, sekali gus mencetuskan suasana panik di kawasan yang sibuk itu.
Wartawan AFP melihat ambulans membunyikan siren dan meredah kesesakan lalu lintas menuju ke lokasi kejadian, manakala pasukan keselamatan mengepung kawasan letupan.
“Letupan yang berlaku di sebuah kafe berhampiran Istana Kehakiman di Damsyik berpunca daripada bahan letupan yang dipasang di lokasi berkenaan,” menurut televisyen negara.
Menurut Kementerian Dalam Negeri Syria menerusi Telegram, alat letupan buatan sendiri (IED) itu mengandungi serpihan logam yang menyebabkan kecederaan parah dan kerosakan besar.
Kementerian itu berkata, penyiasat sedang meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), mengambil keterangan saksi dan mengumpulkan bukti forensik di lokasi kejadian.
Nour Khayyat, 40, pemilik kedai menjual bateri panel solar berhampiran lokasi berkata, kepada AFP bahawa kira-kira jam 3 petang waktu tempatan, beliau terdengar satu letupan kuat dan bahagian hadapan kedainya bergegar.
Turkiye, yang mempunyai hubungan rapat dengan pihak berkuasa Islamis Syria turut mengutuk serangan.
Beberapa negara Arab termasuk Iraq, Jordan, Qatar dan Mesir turut mengecam serangan berkenaan.
Liga Arab dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang dianggotai enam negara turut mengutuk pengeboman itu.
Sejak kejatuhan pemerintah lama Bashar al-Assad pada Disember 2024, pihak berkuasa baharu Syria yang dipimpin Presiden Ahmed al-Sharaa berusaha mengukuhkan kawalan penuh ke atas negara itu, memulihkan keselamatan dan menyatukan semula Syria.
Damsyik telah menjadi lokasi beberapa serangan dan insiden sejak pentadbiran baharu mengambil alih.
Insiden paling maut berlaku pada Jun 2025 apabila serangan ke atas sebuah gereja di Damsyik mengorbankan 25 orang. – AFP










