Libatkan pakar tangani isu keselamatan sekolah

Libatkan pakar tangani isu keselamatan sekolah

JAMBANGAN bunga yang ditinggalkan orang ramai di hadapan sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan penubuhan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesejahteraan Murid Sekolah perlu melibatkan penyertaan individu mempunyai kepakaran pelbagai bidang bagi memastikan setiap isu sosial dan keselamatan dapat ditangani secara menyeluruh.

Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, penglibatan golongan profesional mampu memberi nilai tambah kepada pentadbiran sekolah.

“Ini kerana mereka mampu menyalurkan pandangan, nasihat dan khidmat kepakaran yang boleh membantu pengetua dalam membuat keputusan serta merancang dasar dan program dengan lebih berkesan.

“Langkah ini juga akan memperkukuh hubungan antara komuniti dan sekolah, di samping menjadikan jawatankuasa tersebut lebih dihormati serta diyakini oleh semua pihak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Minggu lalu, 19 ahli Parlimen pembangkang mencadangkan agar Kementerian Pendidikan menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesejahteraan Murid Sekolah di setiap premis pendidikan bagi membendung masalah gejala sosial.

Alimuddin berkata, Kementerian Pendidikan perlu menyediakan garis panduan dan peraturan seragam bagi memastikan pelaksanaan jawatankuasa itu berjalan dengan teratur di lebih 10,000 sekolah di seluruh negara.

“Keseragaman penting supaya pelaksanaan jawatankuasa tidak menimbulkan kekeliruan dan dapat mencapai matlamat sebenar iaitu memastikan keselamatan serta kesejahteraan murid diutamakan,” katanya.

Ahli Majlis Penasihat Kesihatan Mental, Tan Sri Lee Lam Thye yang menyokong cadangan berkata, jawatankuasa itu perlu dianggotai wakil yang mahir dalam bidang keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan sekolah.

Katanya, langkah itu sepatutnya dilaksanakan lebih awal bagi mengekang pelbagai isu sosial di sekolah seperti buli, gangguan seksual, penggunaan rokok elektronik serta kejadian jenayah membabitkan pelajar.

“Masalah yang berlaku sekarang berpunca daripada kekurangan perhatian terhadap isu sosial di sekolah. 

“Sudah tiba masanya Kemeterian Pendidikan memberikan tumpuan lebih serius terhadap kesejahteraan pelajar, bukan hanya prestasi akademik semata-mata,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN