JOHOR BAHRU: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Johor Bahru, hari ini.
Pertemuan itu dikongsikan menerusi satu hantaran media sosial di laman Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Menerusi kenyataan tersebut, Sultan Ibrahim dipersembahkan dengan beberapa perkara termasuk selepas berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, Sabtu lalu.
Antara dipersembahkan termasuk pentadbiran kerajaan negeri Johor, selain hala tuju pentadbiran dan perancangan pembangunan negeri.
Sultan Ibrahim turut menzahirkan harapan agar kerajaan negeri Johor yang telah diberi mandat oleh rakyat menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, berintegriti serta bersungguh-sungguh dalam melaksanakan setiap dasar dan inisiatif demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan Johor.
Pada Sabtu lalu, Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN Johor merekodkan kejayaan besar apabila memenangi 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, sekaligus berjaya menubuhkan kerajaan negeri baharu secara solo.-UTUSAN










