Pengawal keselamatan didakwa terima rasuah, salur tembakau kepada tahanan 

Pengawal keselamatan didakwa terima rasuah, salur tembakau kepada tahanan 

MOHD. Shahidan Shaari diiring pegawai SPRM selepas menghadapi 11 pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang pengawal keselamatan pusat pemulihan dadah didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas 11 pertuduhan rasuah berjumlah RM3,950 kerana membekal tembakau kepada tahanan, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Shahidan Shaari, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di atas kesemua pertuduhan tersebut termasuk satu pertuduhan pilihan yang ditawarkan kepadanya.

Bapa kepada dua anak dari Kupang, Baling membuat pengakuan tersebut setelah kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa menerima rasuah yang berjumlah RM200 hingga RM650 dalam tempoh antara 11 Ogos 2023 hingga 4 Mac 2024 di sebuah bank dekat Simpang Kuala, di sini.

Tertuduh didakwa menerima wang tersebut daripada seorang wanita sebagai dorongan untuk membekalkan bahan terlarang tembakau kepada seorang tahanan di pusat pemulihan di Serdang, Bandar Baharu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Zulfadli Azharudin mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan.

Sementara bagi pertuduhan pilihan, Mohd. Shahidan didakwa melakukan kesalahan sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara selama dua tahun dan denda.

Tertuduh yang diwakili peguam Shahidah Muslimah Roslan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan 18 Ogos depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes. Dia membayar jaminan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN