KUALA LUMPUR: Seorang tukang paip didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas mengaku bersalah mendera anak perempuannya kerana tidak membasuh pinggan, awal bulan lalu.
Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.
Mengikut pertuduhan, lelaki berusia 42 tahun itu didakwa melakukan penganiayaan terhadap anak kandungnya yang berusia 11 tahun 10 bulan dengan memukul mangsa menggunakan penyangkut baju sehingga menyebabkan kecederaan pada beberapa bahagian badan kira-kira pukul 2 petang, 3 Oktober lalu di sebuah kondominium di Taman Metropolitan, di sini.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Ikhwan Mohd. Nasir memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam mengatasi kepentingan tertuduh, faktor trauma terhadap mangsa serta usia mangsa yang masih kecil.
“Pada usia sebegini, mangsa seharusnya dilindungi dan bukannya menjadi mangsa penderaan oleh individu yang sepatutnya melindunginya.
“Kejadian penderaan ini juga bukan kali pertama berlaku malah perbuatan tertuduh yang mendera anak kandung sendiri telah menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi terhadap mangsa,” katanya.
Tertuduh yang hadir ke mahkamah berkerusi roda tanpa diwakili peguam bagaimanapun memohon maaf dan menyatakan rasa kesal atas perbuatannya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM8,000. Gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjara selama lapan bulan.
Mahkamah turut mengenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM1,000 dengan seorang penjamin, selain diperintah melaksanakan khidmat masyarakat selama 36 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan.
Sebelum ini, media melaporkan, seorang kanak-kanak perempuan dilaporkan hilang pada 4 Oktober lalu sebelum ditemui orang awam di sebuah kedai di Metro Prima, Kepong.
Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat lebam di bawah bibir, calar di belakang badan serta sakit di bahagian kepala.
Pada 6 Oktober lalu, polis mengesahkan penahanan lelaki berusia 42 tahun itu bagi membantu siasatan sebelum direman selama empat hari di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Hasil siasatan mendapati suspek bertindak demikian kerana mangsa tidak mencuci pinggan dan tidak mengemas dapur. – UTUSAN










