Lelaki maut motosikal bertembung pacuan empat roda

Lelaki maut motosikal bertembung pacuan empat roda

Mangsa kemalangan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah. - GAMBAR MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu di simpang Ladang Table, Jalan Bombalai di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, mangsa berusia 48 tahun, menunggang motosikal jenis Honda Wave disahkan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di bahagian kepala.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kenderaan Isuzu yang dipandu lelaki berusia 56 tahun, dalam perjalanan dari arah Kalabakan menuju ke bandar Tawau.

“Apabila tiba di simpang Ladang Table, kenderaan itu bertembung dengan motosikal ditunggang mangsa yang keluar dari simpang dipercayai menuju ke Jalan Bombalai,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, akibat pelanggaran itu, mangsa bersama motosikalnya terjatuh dan tercampak ke laluan bertentangan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu dengan melulu atau membahayakan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN