HULU SELANGOR: Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya dihempap sebatang pokok tumbang di Jalan Batang Kali di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu mangsa meninggal dunia di lokasi selepas pokok besar tumbang secara tiba-tiba dan menghempap bahagian hadapan kenderaan jenis Toyota Hilux dipandunya.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.14 petang.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi pada pukul 2.35 petang, didapati sebatang pokok besar tumbang menghempap sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
“Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki tempatan berada di dalam kenderaan berkenaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, operasi menyelamat dijalankan oleh lima anggota bersama sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT).
“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa dijalankan dengan berhati-hati memandangkan keadaan pokok yang besar serta struktur kenderaan yang remuk.
“Anggota bomba turut memastikan kawasan sekitar selamat sebelum mayat mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” jelasnya. – UTUSAN










